fbpx

Didie Shazry pertaruh lagu paduan joget, jazz

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
LAGU nyanyian Didie Shazry, Joget Jiwa Lara dihasilkan oleh bakat dari UPSI termasuk pensyarah mereka, Azam Dungun.

DENGAN berbekalkan pengalaman dalam bidang muzik sejak berusia 11 tahun membuka ruang luas buat penyanyi muda, Didie Shazry meneroka dunia seni dengan menyertai kumpulan orkestra di Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI).

Bukan sekadar menyanyi, Didie bahkan memiliki bakat bermain bass untuk kumpulan sendiri iaitu Akar Rimba dan kerap menerima jemputan nyanyian di seluruh Sabah dan Semenanjung.

Sebagai pelajar graduan dalam bidang Diploma Muzik, dia menghasilkan sebuah lagu berjudul Joget Jiwa Lara yang merupakan single kedua dalam album Joget Made In Malaysia yang dilancarkan di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) pada Oktober tahun lalu.

Lebih menarik, Joget Jiwa Lara merupakan karya ciptaan Hazim Yunan dan Amrul Amran yang merupakan pelajar Ijazah Sarjana Muda Pendidikan Muzik dan Seni Persembahan UPSI, manakala liriknya ditulis oleh pensyarah mereka iaitu Azam Dungun.

GABUNGAN jazz dalam irama seni tradisional joget disuntik dalam karya Joget Jiwa Lara menerusi album Joget Made In Malaysia.

Menurut Penerbit Eksekutif album Joget Made In Malaysia iaitu Keon Omar, UPSI adalah antara empat buah universiti yang terpilih untuk bekerjasama dalam projek tersebut bersama artis baharu.

Tambahnya, penglibatan pelajar dalam Joget Jiwa Lara adalah sangat penting memandangkan generasi kini merupakan pelapis dalam dunia seni hiburan pada masa depan.

“Empat institusi pengajian tinggi awam telah dipilih untuk bekerjasama dengan Luncai Emas dalam penerbitan album Joget Made In Malaysia termasuk UPSI.

“Album terbitan Luncai Emas melalui Dana Kandungan Digital Muzik daripada Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia mengangkat irama joget dalam karya terbaharu generasi muda.

“Karya tersebut juga dihasilkan dengan kerjasama pihak universiti memandangkan pelajar-pelajar bakal menjadi pelapis pada masa hadapan,” katanya.

Bukan itu sahaja, penasihat seni warisan bagi album tersebut, Dr. Raja Iskandar memaklumkan objektif projek bertujuan mengekalkan seni tradisional joget dengan menyuntik nafas baharu.

“Lagu ini memberi nafas baharu dalam bahagian komposisi joget. Unsur muzik jazz dan fusion digabungkan dalam satu gubahan yang menarik sambil mengekalkan irama tradisional joget,” ujarnya yang juga merupakan profesor Universiti Malaysia Kelantan.

Dalam pada itu, selaku penulis lirik dan juga pensyarah UPSI, Azam Dungun menjadikan muzik-muzik artis dari dalam dan luar negara sebagai panduan untuk menghasilkan karya gabungan irama jazz dan joget dalam sebuah lagu.

“Pada asasnya, rentak joget dijadikan sumber utama, manakala elemen fusion diselitkan dalam gubahan muzik yang diadaptasi daripada pengaruh moden seperti karya album Datuk M. Nasir iaitu Mezzoforte dan Casiopea. Tujuannya supaya muzik lagu ini lebih segar dan memenuhi selera pendengar masa kini,” tutur Azam.

Selaku syarikat terbitan projek Joget Made In Malaysia, Luncai Emas berharap usaha album tersebut akan mendapat sokongan semua golongan peminat tidak kira tua dan muda.

Lagu Joget Jiwa Lara berpotensi diminati semua dan boleh didengari dalam semua platform penstriman seperti Spotify, Apple Music, JOOX, dan iTunes.

Video muzik ditonton dalam saluran YouTube Luncai Emas tidak lama lagi.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI