fbpx

Polis siasat anggota benar rakan pegang, bergambar dengan senjata api

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
SEORANG anggota polis akan disiasat setelah melanggar tatakelakuan kerana membenarkan rakannya memegang dan bergambar dengan senjata api ketika sedang bertugas.

JOHOR BAHRU – Seorang anggota polis yang bertugas di Balai Polis Taman Johor Jaya akan disiasat kerana membenarkan rakannya iaitu seorang orang awam bergambar dengan senjata api miliknya, semalam.

Ketua Polis Daerah Seri Alam, Superintendan Mohd. Sohaimi Ishak berkata, gambar berkenaan tular di media sosial khususnya Twitter menerusi satu akaun bernama @evvok.

Menurut beliau, siasatan dibuat mendapati gambar berkenaan diambil pada pukul 2.43 pagi semalam di hadapan Balai Polis berkenaan.

“Polis telah mengesan satu gambar tular memaparkan seorang lelaki berpakaian seragam polis sedang menghisap rokok bersama seorang orang awam yang sedang memegang senjata api milik anggota polis berkenaan.

“Orang awam yang merupakan rakan kepada anggota tersebut dilihat memegang senjata api jenis HK-MP5,” katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.

Tambah Mohd. Sohaimi, ketika gambar tersebut diambil, anggota polis berkenaan sedang bertugas membuat pengawalan di Pos Pengawal Balai Polis berkenaan.

“Siasatan mendapati anggota polis, orang awam yang memegang senjata api dan juga seorang lagi individu awam yang mengambil gambar berkenaan merupakan rakan dan semuanya berusia 25 tahun.

“Difahamkan, tujuan gambar tersebut diambil adalah sebagai kenang-kenangan, namun ianya telah dimuat naik ke dalam media sosial sehingga menjadi tular,” jelasnya.

Mohd. Sohaimi turut memberitahu, tindakan anggota polis tersebut membenarkan orang awam memegang senjata api ketika bertugas adalah satu kesalahan yang melanggar tatakelakuan.

“Siasatan lanjut sedang dijalankan Bahagian Integriti dan Pematuhan Standard (BIPS) Ibu Pejabat Polis Daerah Seri Alam.

“Anggota terlibat boleh dikenakan tindakan dibawah Peraturan-Peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) 1993,” tambahnya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI