fbpx

Henti eksport minyak sawit ke EU jika tiada pilihan – Fadhilah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Fadillah ketika berucap pada Program Palm Oil Economic Review And Outlook Seminar di Hotel Marriot Putrajaya di sini, hari ini. - Foto FAISOL MUSTAFA

PUTRAJAYA – Malaysia tiada pilihan selain menghentikan eksport minyak sawit ke Kesatuan Eropah (EU) jika blok negara itu masih kekal meneruskan larangan importnya.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, jika larangan itu diteruskan maka, Malaysia boleh fokus kepada pasaran lain selain EU pada masa depan.

Beliau yang juga Menteri Perladangan dan Komoditi berkata, kerajaan mengakui EU juga mahu mempertahankan produk mereka namun, dunia sudah memperakui bahawa minyak sawit adalah produk paling murah dan mempunyai kualiti terbaik.

“Jika mereka (EU) masih tidak boleh menerima produk kita, apa lagi yang kita boleh buat. Kita boleh hentikan eksport ke EU dan fokus kepada negara lain.

“Pada masa sama, kami juga mahu Pertubuhan Perdagangan Dunia (WTO) tampil dan menjelaskan keadaan sebenar kepada EU supaya larangan itu dapat ditarik balik,” katanya pada sidang akhbar selepas merasmikan Seminar Tinjauan dan Pandangan Ekonomi Minyak Sawit (R&O) 2023 anjuran MPOB di sini, hari ini.

Katanya, beliau juga akan berbincang dengan rakan sejawat di Indonesia dan Thailand bagi mewujudkan satu suara yang kuat berhubung polisi dikenakan EU itu.

Fadillah berkata, setakat ini, Malaysia sudah memenuhi semua kehendak dan syarat ditetapkan EU namun sebaik ia dipenuhi mereka mencipta satu lagi syarat.

“Saya tidak melihat kekurangan pada kualiti produk minyak sawit kita malah, ia sudah memenuhi kehendak dan standard antarabangsa menerusi Skim Pensijilan Minyak Sawit Mampan Malaysia (MSPO).

“Jika kita sudah memenuhi standard antarabangsa sepatutnya larangan import itu tidak berlaku,” katanya.

Dalam perkembangan sama, Fadillah berkata, beliau akan ke Indonesia sama ada bulan ini atau awal bulan depan bagi membincangkan kerjasama termasuk memperluas pasaran produk sawit dan menanggani bersama kempen negatif dibawa EU.

Katanya, Malaysia dan Indonesia komited mengukuhkan kerjasama mengenai sawit di bawah Majlis Negara-Negara Pengeluar Minyak Sawit (CPOPC) dimana beberapa negara lain dijangka menyertai CPOPC.

“Usaha perlu diselaraskan dalam menyampaikan mesej kepada EU dan Amerika Syarikat supaya menghentikan dakwaan tidak berasas terhadap produk dan industri minyak sawit,” katanya.

Sebelum ini, EU memperkenalkan perundangan baharu iaitu Peraturan Produk Bebas Penebangan Hutan EU (EUDR) mengenai import komoditi terpilih termasuk minyak sawit yang dikaitkan dengan penebangan hutan dan degradasi hutan.

EUDR yang menyasarkan komoditi termasuk minyak sawit, kayu-kayan dan koko itu sangat membimbangkan kerana inisiatif unilateral ini menyekat perdagangan bebas dan adil, dan boleh mengakibatkan kesan buruk ke atas rantaian bekalan global. -KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI