fbpx

Mavcom luluskan 291 penerbangan tambahan untuk Tahun Baru Cina

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Laluan penerbangan tambahan tertinggi adalah daripada laluan Sabah dan Sarawak. -Gambar hiasan

PETALING JAYA – Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (Mavcom) telah meluluskan kesemua 291 penerbangan tambahan yang dipohon oleh syarikat penerbangan untuk perayaan Tahun Baru Cina tahun ini.

Menurut kenyataan Mavcom yang dikeluarkan di sini, daripada 291 penerbangan tambahan tersebut, sebanyak 134 penerbangan adalah daripada AirAsia, Malaysia Airlines (53), Batik Air (44), SKS Airways (44) dan Firefly (16) ke semua destinasi di Malaysia dalam tempoh 18 hingga 31 Januari ini.

Menurut kenyataan Mavcom yang dikeluarkan di sini, laluan yang mempunyai penerbangan tambahan tertinggi bagi musim tersebut adalah laluan antara Sabah dan Sarawak dengan 205 penerbangan. 

Perkhidmatan tambahan dari Semenanjung Malaysia ke Sabah terdiri daripada 50 ke Kota Kinabalu, diikuti dengan 21 ke Tawau dan dua penerbangan ke Sandakan. 

Selain itu, 52 penerbangan tambahan dari Semenanjung Malaysia diluluskan ke Kuching, diikuti dengan 41 ke Sibu, 23ke Miri, dan 16 ke Bintulu.

“Ini merupakan tambahan kepada 1,253 penerbangan sedia ada yang telah dijadualkan untuk beroperasi antara Semenanjung Malaysia dan Sabah, 1,594 antara Semenanjung Malaysia dan Sarawak, serta 3,261 dalam Semenanjung Malaysia yang akan dikendalikan oleh semua syarikat penerbangan dalam tempoh yang dinyatakan.

“Secara keseluruhan, Suruhanjaya telah meluluskan sebanyak 33.5 peratus penambahan penerbangan domestik bagi tahun 2023 berbanding musim perayaan Tahun Baru Cina 2022,” katanya.

Selain itu, Mavcom turut mengarahkan semua syarikat penerbangan mempertingkatkan pengurusan gangguan penerbangan dengan serta-merta dan menunaikan  kewajipan mereka kepada pengguna di bawah Kod Perlindungan Pengguna Penerbangan Malaysia 2016 (MACPC). 

Ini adalah keperluan baharu yang diarahkan  oleh suruhanjaya sebagai persediaan terhadap  peningkatan kapasiti penerbangan serta trafik penumpang semasa musim perayaan Tahun Baru Cina, yang merupakan salah satu tempoh perjalanan puncak di Malaysia.

“Diingatkan juga agar syarikat penerbangan segera menyelesaikan sebarang isu yang dialami oleh penumpang berikutan isu-isu gangguan penerbangan yang telah berlaku baru-baru ini,” ujarnya.

Mavcom menggesa syarikat penerbangan memenuhi kewajipan mereka terhadap  pengguna Sekiranya berlaku sebarang gangguan penerbangan yang mana ia perlu diberi perhatian segera.

“Keperluan baharu ini bertujuan untuk menangani kebimbangan orang ramai mengenai pengurusan pengendalian penundaan dan pembatalan penerbangan oleh syarikat penerbangan terutamanya semasa musim cuti perayaan, berikutan jangkaan peningkatan perjalanan udara.

“Antara obligasi lain, Mavcom telah mengarahkan syarikat penerbangan untuk mengerahkan Pasukan Pengendali Penundaan bagi penerbangan yang ditunda selama 2 jam atau lebih. 

“Kakitangan syarikat penerbangan yang terlibat mestilah diberi kuasa untuk bertindak dan harus membantu pengguna di semua lapangan terbang di Malaysia sekiranya berlaku penundaan atau sebarang gangguan penerbangan,” terangnya. -KOSMO! ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI