MARAN – Kira-kira 112,635 peneroka Felda di seluruh negara mengalami kerugian sebanyak RM112.635 juta sebulan ekoran buah sawit tidak dapat dituai dan ladang tidak dapat diuruskan dengan baik kerana ketiadaan buruh ladang khususnya warga asing.
Setiap peneroka mengalami kerugian RM2,000 sebulan.
Keadaan itu menyebabkan buah sawit lerai dan luruh serta membusuk di pokok disebabkan jadual tuaian buah terganggu.
Menurut Ketua Kampung Felda Jengka 6, Saharuddin Lela, 64, kekurangan buruh asing menyebabkan pusingan memetik sawit hanya dapat dilakukan sekali sebulan berbanding dua kali sebelum ini.
“Ini menyebabkan buah sawit yang ranum tidak sempat dipetik dan membusuk di pokok dan ia bukan sahaja mendatang kerugian kepada peneroka, tetapi juga industri sawit negara.
“Pada masa ini, harga buah tandan segar (BTS) sekitar RM800 satu tan metrik, sememangnya memberi sedikit kelegaan kepada peneroka, tetapi masalah pengeluaran hasil di ladang pula timbul,” katanya di sini semalam.

Dalam pada itu, Ketua Peneroka Felda Sebertak Wilayah Mempaga, Omar Hussain, 62, berkata, masalah tenaga buruh asing di ladang turut membelenggu di tanah rancangan berkenaan.
Justeru, golongan peneroka menuntut komitmen kerajaan dalam mengatasi isu itu yang masih belum
berkesudahan.
“Orang luar mungkin tidak mengetahui buah sawit perlu dipetik dua pusingan sebulan, tetapi akibat kekurangan buruh, hanya boleh dibuat satu pusingan sahaja.
“Ini membuktikan betapa seriusnya masalah kekurangan buruh asing yang perlu diatasi segera,” katanya.
Menurutnya, strategi bekalan enam atau tujuh buruh asing sebagai ‘buruh beredar’ bagi beberapa tanah rancangan Felda sedikit sebanyak mungkin mengatasi pengeluaran hasil sawit.
Bagi Ketua kampung Felda Jengka 7, Ahmad Zubir Abdul Rahim, 64, isu itu juga menyebabkan berlaku kejadian kecurian buah sawit segar di pokok berikutan kekurangan buruh asing di sektor perladangan.

Menurutnya, masalah itu telah banyak kali disuarakan pemimpin peneroka, tetapi tidak pernah selesai yang menyebabkan golongan peneroka tidak tahu lagi hendak mengadu kepada siapa.
“Peneroka telah acapkali bersuara tidak mampu menuai buah sawit dalam dua pusingan ditetapkan atas faktor usia dan tidak ada tenaga buruh mencukupi.
“Oleh itu, banyak buah sawit terbiar dan membusuk di pokok menarik perhatian si pencuri menuainya, tanpa mengira waktu, apa lagi dengan harga komoditi itu masih memuaskan,” katanya.
Sementara itu, Pengerusi Biro Sosial Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Rancangan (JKKR) Gabungan Wilayah Jengka, Razak Daud, 60, optimis isu kekurangan tenaga buruh asing dapat diatasi pada tahun baharu 2023.
Katanya, ini berikutan arahan Perdana Menteri yang meminta Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan Kementerian Sumber manusia (KSM) menyegerakan kelulusan pekerja asing di sektor perladangan, industri perkhidmatan dan pembinaan.
Razak yang juga Ketua Peneroka Felda Jengka 24 berkata, kekurangan tenaga buruh asing di ladang menyebabkan berlaku pembaziran dan ketirisan pendapatan peneroka.














