PETALING JAYA – Harga kereta terpakai akan terus meningkat di pasaran dalam tempoh masa yang panjang selagi pengeluaran stok kereta baharu masih tidak dapat menampung permintaan tinggi daripada pengguna.
Presiden Persekutuan Persatuan Syarikat Kereta dan Kredit Malaysia, Datuk Tony Khor Chong Boon berkata, pemerhatian pihaknya mendapati harga kereta terpakai sukar untuk mengalami penurunan pada masa depan selagi pengeluaran kereta baharu perlahan.
Bagaimanapun, katanya, peningkatan harga kenderaan itu dapat dielakkan sekiranya bekalan kereta terpakai kembali banyak seperti sebelum pandemik Covid-19.
“Proses tukar beli kenderaan (trade in) banyak yang tertangguh ekoran kekurangan pengeluaran kereta baharu daripada kilang.
“Tukar beli kenderaan sangat penting bagi mengekalkan jumlah bekalan bahan jualan kepada syarikat kereta terpakai agar sentiasa cukup dan pelbagai,” katanya ketika dihubungi Kosmo!.
Menurut Chong Boon, ia berlaku kerana pembeli yang sepatutnya membuat tukar beli kenderaan tidak dapat meneruskan urus niaga itu ekoran tidak menerima tempahan kereta baharu dalam masa ditetapkan.
Tambahnya, selain itu, trend permintaan pembeli terhadap kereta terpakai semakin meningkat disebabkan tempoh menunggu kenderaan baharu yang lama.
“Keadaan ini telah menyebabkan pengusaha berdepan dengan persaingan selepas harga kereta terpakai naik hampir sama dengan model baharu. Jika ini berlaku, kami yang akan tanggung kenaikan kos untuk elak ia jadi lebih mahal,” katanya.














