fbpx

Rakyat Jepun dibayar RM34,000 jika pindah keluar dari Tokyo

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Bendera negara Jepun dipasang di sebatang jalan di daerah Ginza, Tokyo pada 29 Disember 2022. - AFP

TOKYO – Kerajaan Jepun akan menawarkan wang insentif sebanyak 1 juta yen (RM33,728) bagi setiap seorang anak untuk keluarga yang berpindah keluar dari Greater Tokyo sebagai usaha  memulihkan bilangan populasi di wilayah-wilayah lain di negara itu, lapor akhbar The Guardian kelmarin. 

Kadar insentif itu adalah peningkatan dramatik daripada yuran pemindahan sebelumnya iaitu sebanyak 300,000 yen (RM10,106). Ia bakal diperkenalkan pada April depan, demikian menurut laporan beberapa media Jepun.

Menurut media tempatan, ia adalah sebahagian daripada usaha rasmi kerajaan untuk memberi ‘nafas baharu’ kepada bandar-bandar dan kampung-kampung kerana mempunyai bilangan penduduk yang semakin berkurangan.

Walaupun populasi Tokyo turun buat kali pertama pada tahun lalu berikutan trend yang sebahagiannya dikaitkan dengan pandemik Covid-19, para penggubal dasar percaya bahawa lebih banyak perlu dilakukan untuk mengurangkan kepadatan penduduk di kota metropolitan itu.

Sehubungan itu, orang ramai digalakkan memulakan kehidupan baharu di wilayah-wilayah lain yang dilanda masalah penuaan, bilangan penduduk yang semakin berkurangan dan penghijrahan golongan muda ke Tokyo, Osaka serta bandar-bandar besar lain.

Bayaran itu merupakan pertambahan kepada 3 juta yen (RM101,066) yang sudah tersedia dalam bentuk sokongan kewangan serta bakal ditawarkan kepada keluarga yang tinggal di 23 sub bahagian teras Tokyo dan wilayah-wilayah berjiran seperti Saitama, Chiba serta Kanagawa.

Bagi mendapatkan wang insentif tersebut, keluarga-keluarga mesti berpindah ke luar kawasan Greater Tokyo selain kawasan pergunungan di sempadan kota raya itu, kata agensi berita Kyodo.

Kira-kira 1,300 majlis perbandaran iaitu sekitar 80 peratus daripada jumlah keseluruhan perbandaran menyertai skim itu dengan harapan dapat memanfaatkan peralihan sikap orang ramai terhadap kualiti hidup.

Sementara itu, syarat di bawah skim tersebut adalah setiap keluarga perlu menetap di rumah baharu selama sekurang-kurangnya lima tahun. Mereka yang berpindah keluar sebelum tempoh lima tahun perlu memulangkan wang tersebut.

Tiga kriteria utama adalah bekerja di syarikat kecil atau sederhana di kawasan tempat tinggal baharu,meneruskan pekerjaan lama mereka menerusi kaedah kerja dari luar pejabat atau memulakan perniagaan di rumah baharu mereka, demikian menurut akhbar perniagaan, Nikkei. 

Pegawai-pegawai berharap agar insentif ditawarkan itu dapat menggalakkan keluarga yang mempunyai anak berumur sehingga 18 tahun untuk ‘menghidupkan’ semula wilayah-wilayah lain sekali gus mengurangkan tekanan ke atas ruang dan perkhidmatan awam di Greater Tokyo.

Menerusi insentif itu, kerajaan Jepun menyasarkan 10,000 orang bakal berpindah keluar dari Tokyo ke kawasan-kawasan pinggir bandar menjelang 2027.

Populasi negara dengan ekonomi ketiga terbesar dunia itu mencatatkan penurunan sebanyak 644,000 dalam tempoh setahun pada 2021, demikian menurut data kerajaan.

Angka kelahiran pula adalah sebanyak 811,604, kadar terendah sejak rekod mula disimpan pada 1899. 

Populasi penduduk diramal merosot daripada 125 juta orang buat masa ini kepada kira-kira 88 juta pada 2065, penurunan 30 peratus dalam tempoh 45 tahun. – Agensi 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI