fbpx

Perlis rancang henti operasi premis perjudian

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Mohd. Shukri bergambar bersama kira-kira 1,300 penjawat awam negeri selepas Majlis Penyampaian Amanat Menteri Besar Perlis di Dewan 2020, Kangar hari ini.

KANGAR – Kerajaan negeri akan mendapatkan pandangan daripada sudut perundangan bagi memperhalusi perancangan bagi menghentikan operasi premis perjudian dan loteri di negeri ini.

Menteri Besar Perlis, Mohd. Shukri Ramli berkata, pihaknya akan mendapatkan maklum balas daripada Penasihat Undang-Undang Negeri terlebih dahulu berhubung perkara tersebut.

“Kerajaan negeri sememangnya mempunyai perancangan bagi pelaksanaan (langkah) itu dan penelitian berhubung aspek perundangan sedang dilaksanakan.

“Insya-Allah jika selesai penelitian dan perbincangan itu saya akan isytiharkan sesuatu, jadi kita tunggu dan lihat,” katanya selepas Majlis Amanat Menteri Besar bersama Penjawat Awam Perlis yang berlangsung di Dewan Wawasan 2020 di sini hari ini.

Difahamkan hanya terdapat lima premis perjudian berlesen yang beroperasi di negeri ini dan perancangan itu dilihat selari dengan tindakan Kerajaan Negeri Kedah yang tidak memperbaharui lesen perjudian dan loteri bermula 1 Januari lalu.

Terdahulu, Mohd. Shukri menyampaikan amanat kepada 1,300 penjawat awam yang terdiri daripada pelbagai kakitangan, pengarah dan ketua jabatan yang beroperasi di negeri ini.

Dalam pada itu, ketika diminta mengulas mengenai arahan mewajibkan semua pengusaha kedai makan di negeri ini untuk memakai pelitup muka, Mohd. Shukri berkata, tindakan tersebut merupakan usaha kerajaan negeri bagi menangani penularan wabak Covid-19.

“Kita juga tidak boleh menghalang pelancong untuk masuk di pintu sempadan memandangkan keputusan itu hanya ditentukan oleh kerajaan Pusat.

“Bagaimanapun kita berharap agar seluruh rakyat dapat mengawal pergerakan diri, memakai pelitup muka dan mengamalkan penggunaan cecair pembasmi kuman sebagai langkah pencegahan,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Mohd. Shukri berkata, Perlis juga dilihat semakin menjadi tumpuan pelancong sejak kebelakangan ini dan kerajaan negeri akan mengadakan mesyuarat bagi membincangkan usaha untuk memastikan jumlah kehadiran pengunjung dapat ditampung sebaiknya.

“Ini termasuk langkah-langkah bagi menyantuni pelancong dan rakyat juga boleh membantu mereka yang tidak mempunyai penginapan untuk datang sebagai tetamu di negeri ini,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI