fbpx

Hanya MAVA, KPM akan tentukan nasib jurulatih kontroversi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Saiful membuat permohonan maaf secara terbuka kepada ibu bapa pemain yang ditamparnya di Kompleks Majlis Sukan Negeri Melaka, hari ini.

MELAKA – Keputusan untuk menggantung jurulatih skuad bola tampar wanita bawah 14 tahun (B14) yang didakwa menampar dua pemainnya hanya akan diputuskan oleh Persatuan Bola Sepak Tampar Malaysia (MAVA) dan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dalam tempoh terdekat.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan negeri, VP. Shanmugam berkata, kerajaan negeri kini menyerahkan keputusan tersebut kepada MAVA dan KPM yang menyiasat insiden tersebut secara terperinci.

Menurutnya, walaupun jurulatih terbabit telah memohon maaf kepada kedua-dua ibu bapa pelajar terbabit, namun insiden yang terjadi ketika Kejohanan Remaja B-14 di Kota Tinggi, Johor pada 16 Disember lalu itu dianggap serius hingga menjadi isu kebangsaan.

“Kedudukan jurulatih berusia 44 tahun itu terbahagi kepada tiga perkara iaitu siasatan oleh kerajaan negeri, siasatan oleh KPM kerana dia masih berkhidmat di Jabatan Pendidikan Malaysia dan Unit Integriti mereka akan membuat siasatan lanjut.

“MAVA mengambil sepenuhnya kes ini memandangkan penularan video tersebut menjadi perhatian semua pihak di peringkat kebangsaan dan sebarang tindakan atau hukuman kini bergantung kepada siasatan tersebut,” ujarnya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat khas berkaitan insiden tersebut di Majlis Sukan Negeri Melaka (MSNM) di Krubong di sini, hari ini.

Turut hadir Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN), Datuk Ahmad Shapawi Ismail; Presiden MAVA, Hean Boon Yeow serta jurulatih dan ibu bapa dua remaja perempuan yang terlibat dalam insiden berkenaan.

Mengulas lanjut Shanmugam berkata, hasil mesyuarat khas yang diadakan itu turut mengesyorkan jurulatih itu membuat permohonan maaf secara terbuka kepada umum serta ibu bapa dan sijil latihan jurulatih itu perlu digantung untuk tempoh setahun atau dua tahun.

Sehubungan itu beliau turut meminta semua pihak agar tidak membuat sebarang spekulasi berkaitan klip video insiden yang turut tular di media sosial kerana dikhuatiri akan menjejaskan prestasi kedua-dua pemain B14.

“Remaja itu kini sedang membuat persiapan menghadapi satu lagi kejohanan tidak lama lagi. Ibu bapa kedua-dua pemain terbabit juga telah memaafkan jurulatih terbabit, namun penularan video tersebut telah menyinggung perasaan mereka,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI