fbpx

Kim Pan-gon lancar perang psikologi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
PAN-GON dan kapten Harimau Malaya, Faisal Halim menghadiri sidang akhbar menjelang perlawanan Kumpulan B, Piala AFF antara Malaysia dan Singapura di Stadium Nasional Bukit Jalil semalam. – AMIR KHALID

KETUA jurulatih skuad Harimau Malaya, Kim Pan-gon memulakan ‘perang psikologi’ dengan me­nyatakan Singapura pakar dalam menampilkan corak permainan bertahan menjelang pertemuan derbi Seberang Tambak dalam Kumpulan B, Piala AFF 2022 di Stadium Nasional Bukit Jalil malam ini.

Menurut Pan-gon, kejayaan Singapura mengikat pasukan ­Vietnam adalah ‘ihsan’ daripada skuad Naga Emas selepas hadir menyaksikan secara langsung perlawanan di Stadium Jalan Besar minggu lalu.

“Saya pergi ke Singapura untuk menyaksikan perlawanan antara mereka menentang ­Vietnam dan apa yang boleh saya rumuskan adalah, jika Vietnam bermain seperti apa yang ditampilkan, mereka tidak akan menang mana-mana perlawanan.

“Situasi berbeza apabila saya lihat pemain Singapura beraksi dengan komitmen penuh sepanjang 90 minit perlawanan untuk bertahan bagi meraih keputusan seri.

“Secara peribadi, saya hormati taktikal yang mereka te­rapkan tetapi pemain kami harus berwaspada kerana mereka juga boleh memberi ancaman khususnya ketika melakukan siri serangan balas pantas,” katanya pada sidang akhbar di Stadium Nasional Bukit Jalil semalam.

Sebagai rekod, skuad Singapura kini memiliki kelebihan kerana hanya memerlukan sekurang-kurangnya keputusan seri untuk mara ke peringkat separuh akhir berbanding Malaysia yang mahukan kemenangan.

Ini adalah kali kedua Pan-gon berdepan dengan Singapura sejak dilantik menjadi pengendali Harimau Malaya selepas kali terakhir bertemu pada aksi persahabatan antarabangsa, Mac lepas dengan kekalahan 1-2.

Sementara itu, pengendali import Harimau Malaya itu mahu aksi terakhir Kumpulan B itu berlangsung dalam suasana ‘festival’, sekali gus memberi aura positif buat pemain dalam usaha memburu tiga mata.

“Saya mahu penyokong yang hadir dapat rasai kenikmatan daripada perlawanan malam esok (hari ini) dan kita gunakan kelebihan yang ada.

“Apa yang pasti, saya harap ia akan berakhir seperti festival dengan penyokong dapat meraikan kemenangan pasukan,” kata Pan-gon.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI