fbpx

Anak pada 2023? Saya pasti gembira – Sweet Qismina

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
SWEET QISMINA

TAHUN 2022 telah berlalu dengan bekal kenangan terindah buat pelakon Sweet Qismina.

Tarikh 24 Oktober 2022 pastinya menjadi memori yang akan diingati selepas Sweet atau nama lengkapnya Farhanna Qismina Supandi sah bergelar isteri kepada suami tercinta yang juga pelakon, Adam Lee.

Membuka lembaran baharu 2023, Sweet bersyukur atas setiap hembusan nafas 2022 yang menuntaskan banyak impiannya, terutama jawapan jodoh dan rezeki rahsia Ilahi.

Sweet, 26, memanjatkan kesyukuran dan menyifatkan tahun lalu sebagai tahun ‘selesa’ untuknya menempuhi hari-hari sehinggalah melabuhkan tirainya semalam.

“Alhamdulillah, apa yang dirancang sepanjang tahun 2022 menjadi kenyataan, terutama perancangan untuk mendirikan rumah tangga. Tentang karier pula, apa yang saya hajati dan usahakan telah dipermudahkan Allah SWT.

“Saya sangat bersyukur apabila tidak berdepan dengan sebarang dugaan apabila segala urusan saya dipermudahkan,” ujar Sweet.

Melangkah ke tahun 2023, secara jujur Sweet tidak mengharapkan banyak perkara terjadi, namun berhasrat agar rezekinya dalam industri melimpah ruah agar hajatnya dapat ditunaikan.

“Untuk tahun 2023, sejujurnya saya tidak mengharapkan perkara yang pelik-pelik. Cukup jika rezeki saya melimpah.

“Sebabnya kerana saya berhajat untuk membawa seluruh ahli keluarga menunaikan ibadah umrah,” katanya.

Pada masa sama, pelakon drama Pink Smile itu gembira jika dikurniakan zuriat pada tahun 2023 sekali gus melengkapkan kehidupannya bersama Adam untuk bergelar ibu dan ayah.

“Jika tahun 2023 saya dikurniakan rezeki cahaya mata, kenapa tidak? Itu sahaja yang saya harapkan untuk tahun baharu ini,” jelasnya.

Daripada segi kerjaya pula, Sweet berharap agar diberi peluang dan rezeki untuk bergelar seorang pengacara pada tahun 2023.

Kata Sweet, dia mahu mencuba sesuatu perkara baharu dan menjadikan bidang pengacaraan sebagai sasarannya untuk mengembangkan lagi kerjaya seninya.

“Tahun 2023 juga saya berharap dapat menjadi seorang pengacara. Saya mahu mencuba bidang lain selain daripada berlakon. Insya-Allah tawaran itu ada,” katanya.

Biarpun selepas bergelar seorang isteri, Sweet tidak bercadang untuk memperlahankan rentak kariernya dalam bidang lakonan, kecuali jika sudah berbadan dua kelak.

“Suami pun tak menghalang atau meletakkan apa-apa syarat untuk kurangkan berlakon. Sebab kami sama-sama menyokong antara satu sama lain.

“Tahun 2023 juga kami berdua akan keluar dalam sebuah drama bertajuk Bukan Lelaki Terhebat. Alhamdulillah,” jelasnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI