fbpx
PARA nabi dan rasul disifatkan oleh al-Quran dengan ciri-ciri seperti manusia lain kerana jika rasul itu bersifat ketuhanan atau malaikat, bagaimana mungkin manusia biasa mampu mencontohi mereka. – Gambar hiasan

Mengapa rasul bersifat insan?

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

Mengapakah al-Quran begitu menekankan sudut kemanusiaan Nabi Muhammad SAW? Sedangkan terdapat sesetengah kelompok yang cuba menonjolkan keistimewaan luar biasa Nabi Muhammad dengan pelbagai keajaiban di luar tabiat kemanusiaan. Betulkah pendekatan kelompok yang seperti itu?

Jawapan:
Antara asas penting dalam keimanan kepada para nabi AS adalah beritikad atau berkeyakinan penuh bahawa mereka manusia yang bersifat kemanusiaan atau ciri-ciri keinsanan (tabai’ basyariyyah).

Golongan ini tidak bersifat ketuhanan atau malaikat atau makhluk super power yang berlainan daripada insan bersifat manusia.

Sesiapa yang menyatakan Nabi Muhammad SAW itu bukan manusia (basyar), maka dia telah kufur dengan al-Quran dan sunnah.

Banyak pengikut agama cenderung untuk menyifatkan tokoh dan pengasas agama mereka dengan ciri-ciri ketuhanan seperti malaikat atau super power.

Ia bagi menggambarkan kehebatan tokoh atau pengasas agama berkenaan. Namun, Islam tidak demikian.

Nabi Muhammad dan sekalian para nabi disifatkan oleh al-Quran dengan ciri-ciri seperti manusia lain.

Cumanya mereka ditabalkan menjadi rasul dan nabi dengan diberi wahyu serta kadangkala mendapat pertolongan dengan ayat atau mukjizat dalam keadaan getir.

Pun begitu, sepanjang sejarah para nabi, ada dalam kalangan mereka yang dibunuh, diseksa, dicederakan, dizalimi dan berbagai-bagai derita lain yang selalu menimpa.

Mereka tidak digambarkan kebal atau boleh terbang, sentiasa dapat menghadirkan perkara-perkara pelik sehingga mendorong manusia beriman.

Jika ada pun pertolongan Allah SWT yang disebut ‘ayat’ atau mukjizat, perkara tersebut bukannya hadir dengan kehendak mereka.

Mukjizat sentiasa dikaitkan dengan kebesaran Allah, bukan kekuatan diri mereka sendiri.

Iktikad atau keyakinan ini diwajibkan oleh al-Quran dan sunnah untuk seorang Muslim tanamkan dalam keimanan mereka.

Firman Allah: “Katakanlah (wahai Muhammad), sesungguhnya aku hanyalah seorang manusia seperti kamu, diwahyukan kepadaku bahawa Tuhan kamu hanyalah Tuhan Yang Satu. Oleh itu, sesiapa yang percaya dan berharap akan pertemuan dengan Tuhannya, hendaklah ia mengerjakan amal soleh dan janganlah dia mempersekutukan sesiapa dalam ibadat kepada Tuhannya.”(Surah al-Kahf: 110).

Firman Allah lagi: “Katakanlah (wahai Muhammad), aku tidak berkuasa mendatangkan manfaat bagi diriku dan tidak dapat menolak mudarat kecuali apa yang dikehendaki Allah. Jika aku mengetahui perkara-perkara ghaib, tentulah aku akan mengumpulkan dengan banyaknya benda-benda yang mendatangkan faedah dan aku tidak ditimpa kesusahan.

“Aku ini tidak lain hanyalah (Pesuruh Allah) yang memberi amaran (bagi orang-orang yang ingkar) dan membawa berita gembira bagi orang-orang beriman.”(Surah al-Anfal: 188).

Mengapakah al-Quran menekankan ciri ini? Demikian juga mengapakah Rasulullah sentiasa menekan asas akidah ini?

Sebabnya adalah untuk memelihara tauhid atau akidah kepada Allah supaya hanya Dia Maha Berkuasa dan layak disembah.

Manusia apabila tidak dikawal oleh akidah akan mengheret mereka memuji dan mengagungkan para rasul melebihi batasan sepatutnya.

Lihat apa yang berlaku kepada Nabi Isa AS. Kepercayaan atau pujian berlebihan sehingga Nabi Isa diangkat menjadi anak kepada Tuhan.

Perkara yang berikutnya, jika rasul itu bersifat ketuhanan atau malaikat, bagaimana mungkin manusia biasa mampu mencontohi mereka.

Hakikatnya, mereka dihantar untuk menjadi contoh teladan yang baik kepada manusia.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN