fbpx

Taktik PATI naik bas ke ibu negara tumpas

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
PATI terlibat ditahan pegawai JIM ketika tiba di TBS, semalam.

PUTRAJAYA- Taktik enam orang pendatang asing tanpa izin (PATI) memasuki negara melalui laluan haram tumpas apabila mereka ditahan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) dalam satu operasi khas di Terminal Bas Bersepadu (TBS) Kuala Lumpur, semalam.

Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Seri Khairul Dzaimee Daud berkata, operasi khas itu dijalankan pihaknya setelah menerima maklumat awam bahawa terdapat enam PATI akan dihantar ke ibu negara menggunakan perkhidmatan bas.

“PATI terbabit dipercayai baru masuk ke negara ini secara tidak sah melalui laluan haram di Sungai Golok, Kelantan.

“Pasukan operasi telah berjaya mengesan bas yang membawa PATI tersebut di Lebuhraya Pantai Timur dan bertindak mengekori sehingga ke TBS.

“Sebaik tiba, pasukan operasi telah melakukan pemeriksaan ke atas semua penumpang di buah bas secara berasingan. Hasil pemeriksaan, kami menahan lima orang lelaki dan seorang perempuan warga Indonesia berusia antara 35 hingga 54 tahun,” katanya dalam satu kenyataan di sini, tadi.

Jelasnya, semakan lanjut mendapati kesemua PATI yang ditahan memiliki cap keluar negara jiran dan cap masuk Malaysia yang disyaki palsu.

“Cap-cap palsu digunakan di dalam pasport milik mereka bertujuan mengaburi pihak berkuasa bahawa mereka memasuki Malaysia secara sah dan melepasi pemeriksaan imigresen di pintu masuk negara.

“Kesemua mereka dikesan memiliki rekod senarai hitam dan dihalang dari memasuki Malaysia berdasarkan kesalahan lampau,” jelasnya.

Menurutnya, sindiket dipercayai mengubah modus operandi dengan membawa PATI menaiki pesawat dari Indonesia ke negara jiran untuk tujuan transit sebelum memasuki Malaysia secara tidak sah.

“Jaringan sindiket akan menyediakan pengangkutan dan lain-lain kemudahan supaya kumpulan PATI berkenaan dapat  memasuki Malaysia melalui  laluan haram di sempadan.

“Seterusnya mereka mereka akan dipindahkan dengan menaiki kenderaan ke stesen bas berhampiran untuk meneruskan perjalanan ke Kuala Lumpur,” katanya.

Katanya, kesemua mereka juga mengaku tidak melapor untuk pemeriksaan imigresen semasa masuk ke Malaysia.

“Sebaliknya urusan berkaitan pasport diuruskan oleh pihak sindiket semasa mereka berada di rumah transit penampungan.

“Tujuan mereka masuk adalah untuk bekerja semula samada dengan bekas majikan atau majikan baru di sekitar Kuala Lumpur yang telah diatur awal oleh pihak sindiket.

“Kumpulan PATI itu juga mendakwa membayar antara RM5,000 hingga RM6,000 kepada ejen di negara asal untuk urusan pakej kemasukan ke negara ini,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI