fbpx

UPSR, PT3 diputuskan selepas PPPM tamat 2025

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Fadhlina ketika sidang akhbar di Nibong Tebal, hari ini. - Foto IQBAL HAMDAN

SEBERANG PERAI – Pendirian Kementerian Pendidikan (KPM) untuk mengembalikan semula Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) dan Pentaksiran Tingkatan Tiga (PT3) bergantung kepada hasil pembentangan laporan Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) yang tamat tiga tahun lagi.

Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata, keputusan untuk melaksanakan semula peperiksaan itu perlu merujuk kepada fakta dan data yang telah dikumpulkan sepanjang tempoh terbabit.

Menurutnya, KPM memahami keprihatinan ibu bapa susulan anak-anak tidak menduduki peperiksaan, namun kementerian sudah melakui proses sangat panjang sebelum memutuskan untuk menghapuskan UPSR.

“Oleh itu, kita kena bentangkan dahulu hasil daripada laporan PPPM 2025 untuk melaksanakan penambahbaikan sistem pendidikan pada masa akan datang.

“PPPM akan tamat pada tahun 2025 dan laporan terbabit akan menunjukkan keberhasilan melibatkan peperiksaan dan proses pembelajaran anak-anak.

“Tunggu laporan itu dahulu, lihat hasilnya dan sekiranya ada cadangan untuk kembalikan semula peperiksaan, itu semua bergantung kepada laporan pelan tersebut,” katanya kepada pemberita di Nibong Tebal di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas berhubung sama ada peperiksan UPSR dan PT3 akan dilaksanakan semula dalam masa terdekat.

Terdahulu, beliau yang juga Ahli Parlimen Nibong Tebal meluangkan masa lebih tiga jam bagi mendengar permasalahan rakyat di kawasannya membabitkan pelbagai isu untuk perhatian di Pusat Khidmat Rakyat di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Fadhlina berkata, KPM mahu mengukuhkan Pentaksiran Berasaskan Sekolah (PBS) untuk penambahbaikan, kemajuan dan potensi pelajar berbanding peperiksaan.

“Kalau kita tengok, PBS ini adalah proses ansur maju kanak-kanak, maknanya kita kena lihat secara holistik kerana ia tidak tertumpu kepada satu aspek sahaja.

“Justeru, peranan kita sekarang adalah untuk memperkasakan PBS yang sedia ada melalui pengenalan ujian akhir akademik, bukan seperti UPSR atau PT3 yang lebih memfokuskan kepada peperiksaan,” katanya.

Terdahulu, semakin ramai ibu bapa menuntut agar UPSR dikembalikan dalam sistem pendidikan negara.

Rata-ratanya mendakwa Kementerian Pendidikan masih belum bersedia sepenuhnya untuk melaksanakan Pentaksiran Bilik Darjah (PBD) sebagai pendekatan tunggal kepada sistem penilaian di sekolah. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI