fbpx

Bapa tanam anak didakwa membunuh, mengaku salah cedera isteri, anak bongsu

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Mohd. Yasin menundukkan muka ketika dibawa ke Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur hari ini.

KUALA LUMPUR – Seorang bapa yang bertindak kejam dipercayai mendera anak perempuannya sehingga maut sebelum menanam mayat mangsa di tepi jalan di Jalan Bellamy, didakwa di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan membunuh.

Bagaimanapun tiada pengakuan direkodkan daripada tertuduh Mohd. Yasin Halik, 40, selepas pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Majistret Wong Chai Sia.

Pengakuan tidak direkodkan berikutan kes bunuh itu di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.

Mengikut pertuduhan, Mohd. Yasin yang bekerja sebagai tukang kasut itu didakwa membunuh Nurul Ainatira, 9, di sebuah rumah di Jalan Pudu di sini pukul 9 malam pada 9 Disember lalu.

Berikutan itu pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman gantung sampai mati jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, B. Sareeka manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Mahkamah kemudian menetapkan 21 Februari depan bagi sebutan semula kes.

Dalam mahkamah sama, Mohd. Yasin dihukum penjara empat bulan selepas mengaku bersalah atas pertuduhan dengan sengaja mendatangkan kecederaan terhadap ibu mangsa Suma, 41, dengan cara menyimbah air panas ke tubuh wanita itu.

Kesalahan itu didakwa dilakukan pada tempat sama pukul 1 pagi pada 8 Disember lalu yang didakwa mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun atau denda atau sebat atau dua daripada seksaan itu.

Sementara itu, di Mahkamah Sesyen tertuduh turut mengaku bersalah atas pertuduhan menyimbah air panas yang menggelegak dari cerek ke atas anak perempuan bongsunya yang juga anak kedua berusia enam tahun pada tempat sama pukul 1 tengahari pada 1 Disember lalu.

Bagi kesalahan itu pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM50,000 penjara atau penjara maksimum 20 tahun atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Semasa prosiding pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Wan Ahmad Hakimi Wan Ahmad Jaafar.

Hakim Norina Zainol Abidin kemudian menetapkan 9 Januari depan untuk fakta kes dan jatuh hukum.

Pada 12 Disember lalu, Kosmo! melaporkan seorang bapa bertindak kejam dipercayai mendera anaknya sehingga maut sebelum menanam mayat mangsa di tepi jalan diberkas.

Difahamkan, suspek yang merupakan lelaki tempatan itu menanam anak perempuannya berusia sembilan tahun di kawasan tepi jalan Taman Dusun Bandar, Jalan Bellamy, di sini.

Bertindak atas maklumat, polis berjaya mengesan lalu menangkap suspek kira-kira pukul 12.30 tengah hari di Jalan Pasar Pudu.

Suspek berusia 40-an mengaku telah menanam mangsa di tepi jalan Taman Dusun Bandar, Jalan Bellamy di sini,” kata Noor Dellhan. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI