fbpx

Tanah runtuh: Jenazah salah seorang mangsa dikebumi malam ini

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Lokasi kawasan tanah runtuh di tapak perkhemahan Father‚'s Organic Farm, Jalan Batang Kali-Genting Highlands.

PASIR PUTEH – Jenazah salah seorang mangsa kejadian tanah runtuh di sebuah tapak perkhemahan di Batang Kali, Selangor kelmarin dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Darul Sakinah, Kuala Lumpur malam ini.

Mangsa, Nurul Azwani Kamarulzaman, 31, dari Kampung Gong Lapang, Semerak di sini berhijrah ke Kuala Lumpur sejak enam tahun lalu dan bekerja di kantin Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Mun Choong.

Sepupunya, Abdul Muhaimin Ismail, 31, berkata, ahli keluarga mengambil keputusan untuk mengebumikan jenazah di Kuala Lumpur memandangkan semua keluarga terdekat tinggal di sekitar ibu negara.

Menurutnya, solat jenazah akan dijalankan di Masjid Abu Hurairah, Batu Lima selepas solat isyak malam ini sebelum disemadikan di Tanah Perkuburan Islam Darul Sakinah.

“Ahli keluarga reda dengan pemergian arwah dan menganggap ini sebagai ketentuan takdir.

“Kami sekeluarga amat berterima kasih kepada semua anggota pasukan penyelamat yang bertungkus-lumus membantu pencarian Nurul Azwani,” katanya ketika dihubungi Kosmo! sebentar tadi.

Sementara itu Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Semerak, Wan Hassan Wan Ibrahim mengesahkan bahawa Nurul Azwani merupakan penduduk asal Kampung Gong Lapang di sini dan kali terakhir pulang ke kampung untuk mengundi pada Pilihan Raya Umum ke-15 baru-baru ini.

“Saya akan menziarahi ahli keluarga mangsa terutamanya Siti Esah Hassan, 53, yang merupakan ibu kepada Nurul Azwani di Kuala Lumpur esok.

“Keluarga terdekat arwah semuanya tinggal di luar Kelantan. Saya turut difahamkan rumah mereka di kampung juga sudah tiada orang yang tinggal,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI