fbpx

Perjanjian permuafakatan menjunjung kedudukan Islam, Melayu

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Pemimpin parti politik yang hadir pada pemeteraian Perjanjian Permuafakatan Antara Gabungan di Pejabat Perdana Menteri hari ini.

PETALING JAYA – Perjanjian Permuafakatan Antara Gabungan yang dimeterai di Pejabat Perdana Menteri hari ini beriltizam menjana kesepakatan rakyat untuk memacu Malaysia di atas landasan yang progresif dan majmuk.

Ketua Pemuda Barisan Nasional (BN), Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata, perjanjian permuafakatan itu juga berkenaan Kerajaan Persekutuan mengambil langkah yang perlu agar dasar, program, pendirian, perlakuan dan pembawaan kerajaan menjunjung peruntukan-peruntukan Perlembagaan Persekutuan berhubung kedudukan Islam, Melayu dan Bumiputera, Raja- raja Melayu dan Bahasa Melayu.

“Pada masa sama Kerajaan Persekutuan juga akan mempertahankan hak dan kebebasan rakyat bukan Melayu, Bumiputera, Islam mengamalkan agama, kepercayaan dan adat masing-masing mengikut Perlembagaan Persekutuan, agar keseluruhan semua rakyat Malaysia boleh hidup dalam suasana harmoni, saling mempercayai, mendapat peluang yang adil mengikut keperluan dan saling memakmurkan dalam konteks hidup bernegara yang majmuk,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Terdahulu, Kosmo! melaporkan parti-parti utama yang membentuk Kerajaan Perpaduan di bawah pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim selesai menandatangani perjanjian Permuafakatan Antara Gabungan di Pejabat Perdana Menteri hari ini.

Perjanjian persefahaman tersebut dibuat adalah bagi parti-parti yang bersama-sama membentuk Kerajaan Perpaduan menyatakan persetujuan terhadap gabungan berkenaan serta kepimpinan Perdana Menteri.

Hadir sama pada majlis menandatangani itu ialah Presiden Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi; Naib Presiden Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), Datuk Seri Fadillah Yusof; Pengerusi Gabungan Parti Sarawak (GPS), Tan Sri Abang Johari Abang Openg dan Pengerusi Gabungan Rakyat Sabah (GRS), Datuk Hajiji Noor.

Pemeteraian permuafakatan tersebut juga dibuat agar Sidang Khas Parlimen akan diadakan selama dua hari pada 19 hingga 20 Disember ini berjalan dengan lancar.

Antara agenda utama Sidang Khas Parlimen kelak ialah bagi memilih Yang di-Pertua Dewan Rakyat selain usul undi percaya kepada kepimpinan Perdana Menteri. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI