fbpx

Mahkamah: 8 individu akan ditemubual sebelum bicara bela diri Siti Bainun

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Siti Bainun

KUALA LUMPUR – Mahkamah Sesyen di sini hari ini membenarkan permohonan pihak pembelaan untuk menemu bual lapan individu yang berpotensi menjadi saksi pembelaan dalam kes pengasas Rumah Bonda Siti Bainun Ahd Razali bermula.

Hakim Izralizam Sanusi memutuskan demikian selepas peguam Mohammad Farhan Maaruf yang mewakili Siti Bainun memaklumkan pihaknya akan menemu bual lapan individu itu di mahkamah pada 21 dan 22 Disemner ini.

“Pihak kami akan menyenaraikan saksi-saksi pembelaan selepas selesai menemu bual lapan individu ini,” katanya semasa pengurusan kes itu.

Difahamkan lapan individu yang akan ditemubual itu termasuk bekas penghuni Rumah Bonda.

Pada prosiding sebelum ini, pendakwaan menawarkan seramai 15 saksi kepada pembelaan dalam perbicaraan bela diri Siti Bainun selepas mahkamah mendapati pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie terhadapnya.

Sebelum ini, mahkamah sama telah menetapkan selama 25 hari bermula Januari hingga Mac 2023 bagi perbicaraan bela diri Siti Bainun.

Tarikh-tarikh itu ialah 5, 6, 16, 17, 18, 19, 20, 26 dan 27 Januari (9 hari) diikuti 20, 21, 22, 23 serta 24, 27 dan 28 Februari (7 hari) selain 6, 7, 8, 9 ,10, 27, 28, 29 dan 30 Mac (9 hari).

Sebelum itu mahkamah turut dimaklumkan Siti Bainun diberi sijil cuti sakit (MC) selama 22 hari yang berakhir 19 Disember ini akibat masalah kesihatan yang dihadapinya.

Untuk rekod perbicaraan kes itu bermula 30 Mac lalu (2022) dan antara saksi pendakwaan yang dipanggil untuk memberi keterangan ialah mangsa iaitu Bella, pakar psikiatri Dr. Wan Asyikin Wan Azlan, pembantu pengurus syarikat swasta Zurianty Sudin, pakar bedah plastik, Dr. Salmi Mohamed Shukur.

Selain itu ialah bekas penghuni Rumah Bonda Yasmin Nahar Mahmood, 19, yang merupakan saksi pendakwaan kelima.

Pada 24 November lalu, Siti Bainun diperintah bela diri membela diri atas dua pertuduhan mengabai dan menganiaya seorang remaja perempuan sindrom Down berusia 13 tahun yang dikenali sebagai Bella.

Siti Bainun, 30, menghadapi dua pertuduhan iaitu mengabai dan menganiaya remaja perempuan itu sehingga menyebabkan mangsa mengalami kecederaan fizikal serta emosi.

Dia dituduh melakukan perbuatan itu di sebuah kondominium di Wangsa Maju di sini antara Februari dan Jun 2021 mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 yang membawa hukuman maksimum penjara 20 tahun atau denda RM50,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan. – KOSMO! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI