fbpx

Arabella buru impian jadi model antarabangsa

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
ARABELLA Ellen mempunyai darah kacukan Melayu-Inggeris.

CITA-CITA dan impian gadis cantik berusia 17 tahun ini cukup besar. Selepas dinobatkan sebagai juara pertandingan I Am Model Search Teens Malaysia sekitar Ogos lalu, pemilik nama lengkap Arabella Ellen itu tidak lagi menoleh ke belakang untuk mengejar apa yang diidam-idamkan selama ini.

Dengan pakej berdarah campuran Melayu-Inggeris, dia yang mesra disapa Bella tidak menanti lama terjun ke dunia seni apabila dilamar membintangi sebuah filem arahan pengarah dari Korea Selatan.

Kata Bella, peluang yang diberikan umpama satu mimpi sementelah dia memang bercita-cita untuk bergelar pelakon selain memburu impian menjadi model berkelas dunia.

“Alhamdulillah, saya baru sahaja menghabiskan penggambaran filem pertama yang dijangka dikeluarkan pada tahun hadapan.

“Tajuk dan pelakon lain yang terlibat dalam filem ini belum boleh dedahkan. Istimewanya, filem tersebut diarahkan oleh seorang pengarah terkenal dari Korea Selatan,” kongsinya.

PADA usia muda, Bella mahu menjadi contoh dan ikon kepada remaja seusianya dengan menyampaikan mesej-mesej positif kepada mereka.

Menjadikan Amelia Henderson sebagai idola, Bella berhasrat agar suatu hari nanti dia dapat bergandingan dengan pelakon kesayangannya itu dalam sebuah naskhah pada masa akan datang.

“Saya amat meminati Amelia Henderson kerana bakat lakonannya. Tambahan pula dia sangat cantik. Harap saya dapat berlakon dengannya suatu hari nanti,” kata Bella.

Ujar pelajar tingkatan lima Sekolah Menengah Kebangsaan Taman Tun Dr. Ismail itu lagi, selain mahu bergelar seorang pelakon dalam industri hiburan tanah air, impiannya juga adalah untuk bergelar seorang model antarabangsa.

Bahkan, anak bongsu daripada tiga orang adik-beradik itu membayangkan wajahnya akan menghiasi papan-papan iklan gergasi (billboard) suatu hari nanti.

“Selain mahu menjadi pelakon, saya juga bercita-cita menjadi model terkenal antarabangsa. Tetapi buat masa sekarang, kedua-dua kerjaya itu dijadikan kerja sambilan memandangkan saya masih lagi bersekolah.

“Pelajaran masih menjadi keutamaan kerana saya bakal menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) pada Mac tahun hadapan,” katanya.

Kata gadis manis tinggi lampai itu lagi, dia bersyukur apabila keluarganya banyak memberi dorongan dan galakan untuk menceburi dunia hiburan walaupun pada usia muda.

BELLA mahu mengejar cita-cita untuk menjadi seorang pelakon hebat suatu hari nanti dan akan mendalami ilmu lakonan bagi memantapkan bakatnya.

“Alhamdulillah keluarga terutama ibu dan adik-beradik banyak memberi dorongan serta galakan untuk saya menceburi bidang hiburan. Cuma dengan syarat saya tidak mengabaikan pelajaran,” kata anak jati Kuantan, Pahang itu.

Pada usia muda, Bella juga menyimpan impian untuk menjadi ikon kepada remaja lain di luar sana. Katanya, dia mahu dilihat sebagai contoh positif untuk remaja seusianya.

“Saya mahu menjadi ikon untuk remaja lain di luar sana dan menyampaikan mesej-mesej positif kepada mereka.

“Mewakili suara remaja, saya mahu menyarankan kepada rakan-rakan sebaya untuk tidak berhenti mengejar cita-cita dan jangan sesekali mudah berputus asa,” katanya yang bakal mewakili negara dalam pertandingan I Am Model Search International pada tahun hadapan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI