ALYA IMAN. Mungkin ada yang pernah mendengar nama perempuan cantik yang selesa dengan berimej tudung litup itu.
Tak kurang juga yang masih tertanya-tanya siapakah gerangan pemilik nama Alya Iman itu.
Kalau diikutkan, perjalanan kembara seninya bukanlah terlalu lama atau boleh dikatakan masih baharu dan mentah.
Anak perempuan kepada pelakon veteran, Allahyarham Azmil Mustapha itu pada awalnya memulakan kerjaya sebagai model pentas peragaaan, barulah berjinak-jinak sebagai pelakon.
Hendak dikatakan terlalu lama berlakon, jauh panggang dari api tetapi untuk beberapa tahun kebelakangan ini, namanya mula disebut-sebut dek bakat lakonan yang boleh dibanggakan.
Ibarat pepatah lama, mana tidak tumpahnya kuah kalau ke nasi. Begitu jugalah yang dikaitkan dengan bakat lakonan yang diwarisi daripada Allahyarham bapanya yang cukup terkenal menerusi filem Ali Setan suatu ketika dahulu.

Kontroversi
Ketika sedang elok graf populariti sebagai pelakon naik perlahan-lahan dan menunjukkan indikasi positif, namanya tiba-tiba tercalar dek kontroversi yang melanda sekitar dua tahun lalu.
Klise mengatakan setiap selebriti pasti tidak lari dari kontroversi mahupun apa-apa isu yang terpalit seterusnya meledakkan nama artis tersebut.
Begitu juga yang terpaksa ditelan Alya apabila kecoh mengenai kisah mengikat tali pertunangan dengan seorang lelaki berstatus suami orang.
Dari situ, mulalah mulut-mulut netizen berteriak memaki hamun melontarkan kata-kata nista, sekali gus melabelkan Alya sebagai seorang perampas suami orang.
“Kalau dikenang semula perkara tersebut, saya sendiri pun tak percaya dengan apa yang sudah berlaku.
“Jujur malas sebenarnya saya nak buka cerita lama dan apa yang telah terjadi.
“Tetapi itulah, benda pun dah berlalu, ini pengajaran bagi saya untuk terus berhati-hati,” katanya kepada HibGlam baru-baru ini.

Alya ditemui pada sidang akhbar majlis tayangan perdana filem 7 Minggu Sebelum Kahwin terbitan KRU Studios & Bloombordia yang mula menemui penonton Astro First Khamis lalu.
Meneruskan bicara, Alya atau nama sebenarnya Nur Alya Iman Azmil mengakui apa yang terjadi disebabkan khilaf sendiri.
“Jujur saya tidak tahu bahawa isteri lelaki tersebut langsung tidak tahu-menahu mengenai pertunangan kami ketika itu.
“Saya cuma tahu yang dia suami orang dan sudah ada anak.
“Jadi kami bersetuju untuk mengikat tali pertunangan terlebih dahulu.
“Usai bertunang dan majlis diadakan, baru saya dapat tahu yang isterinya tidak tahu dan kisah saya ‘rampas’ suami orang sudah mula tular dalam media sosial,” katanya.
Ujar Alya, apa yang berlaku benar-benar perit dan berbekas di dalam hatinya. Dia serik apatah lagi reputasi dan imej mula tercemar.
“Selepas insiden tersebut, macam-macam gelaran saya terima. Adakalanya saya diam dan buat tidak tahu saja.
“Tetapi sampai bila. Persepsi dan mindset (pemikiran) orang sudah begitu. Saya dilabel dan dicop sebegitu.
“Perempuan jalang, kaki kikis, pisau cukur, perampas dan macam-macam lagilah. Buat baik pun tetap orang mengata. Bab itu saya memang tak boleh nak buat apa-apa. Ada satu tahap saya malas nak fikir pasal orang lain,” katanya.
Kembali solo, fokus
Disangka panas sampai ke petang, rupa-rupanya hujan di tengah hari. Itu perumpamaan paling tepat bagi Alya selang beberapa bulan selepas insiden putus tunang bersama suami orang.
Pelakon itu nekad memutuskan hubungan bersama seorang lagi lelaki juga berstatus suami orang setelah beberapa bulan menjalin cinta.
Semua berkait rapat dengan suami orang dan mereka yang sudah pun berpunya.

Perkara sedemikian jugalah yang menjadi modal bagi netizen melemparkan kecaman sekali gus melabelkan dengan pelbagai gelaran.
Dia ditohmah seperti seakan-akan tidak serik dengan apa yang pernah melanda dirinya bahkan wanita cantik berusia 21 tahun itu dilabel kerap mahukan cinta suami orang.
Belajar daripada kesilapan, Alya kini selesa menikmati hidup solo.
“Buat masa sekarang ini, saya memang single (solo) dan dah tak ada kena mengena dengan Ridhwan (kekasih terdahulu) lagi.
“Tapi kami masih kekal bersahabat baik macam biasa. Tiada apa yang nak disengketakan antara kami berdua. Kami hormati keputusan yang dicapai.
“Namun, saya nak ingatkan, I am not available (sudah dimiliki).
“Bukan sebab dah ada kekasih baharu, tapi saya nak fokus karier seni dan malas nak fikir soal cinta,” ujar Alya menoktahkan butir kata.














