fbpx

Projek PLSB Sungai Golok dibina dengan pintu saliran air

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Projek PLSB Sungai Golok di Rantau Panjang yang kini sedang dalam proses pembinaan.- IHSAN URUSETIA PENERANGAN DAN KOMUNIKASI NEGERI KELANTAN

KOTA BHARU – Kerajaan negeri Kelantan menepis dakwaan penduduk yang mengatakan projek Pembangunan Lembangan Sungai Bersepadu (PLSB) Sungai Golok di Rantau Panjang yang sedang dibina tidak mempunyai pintu saliran air.

Pengerusi Jawatan Kuasa Kerja Raya, Infrastruktur, Pengangkutan dan Utiliti negeri, Datuk Azami Mohd. Nor berkata, projek tersebut diluluskan mengikut pelan dengan mempunyai pintu saliran yang kini sedang dalam peringkat pelaksanaan.

“Dakwaan penduduk yang mengatakan projek PLSB tiada pintu air tidak tepat kerana Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) telah memberi taklimat kepada kita (kerajaan negeri) bahawa pintu tersebut ada.

“Cuma, projek itu kini sedang dilaksanakan dan berada di peringkat akhir bagi fasa satu di kawasan Sungai Golok,” katanya pada sidang akhbar di pejabatnya di Kompleks Kota Darul Naim di sini hari ini.

Azami yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kadok berkata, projek fasa pertama itu kini sudah siap lebih 70 peratus.

Katanya, bagi fasa kedua Sungai Golok pula, ia masih berada di peringkat perolehan dan beliau berharap Kerajaan Persekutuan dapat mempercepatkan projek itu.

“Setakat ini, fasa pertama projek berjalan seperti yang dijadualkan, namun ia masih tidak dapat menyelesaikan masalah banjir sekiranya fasa kedua belum siap.

“Oleh itu, kita perlu menjalinkan hubungan baik dengan Kerajaan Pusat kerana ia merupakan antara projek yang perlu disegerakan memandangkan semua persediaan sudah dijalankan sebelum ini,”katanya.

Sebelum ini, penduduk di beberapa buah kampung di Rantau Panjang mendakwa kawasan rumah mereka sering dilanda bah dan banjir termenung sekiranya berlaku hujan lebat.

Mereka mendakwa, PLSB yang dijalankan di kawasan itu dibina tanpa pintu air sehingga menyebabkan banjir bertakung dan lambat surut meskipun cuaca semakin baik. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI