fbpx

“Ini lagu buat kamu” – Marcell kenang Adibah Noor

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
MARCELL memukau lebih 2,000 peminat yang hadir menyaksikan persembahan Konsert Marcell Dua Dekade Live in Kuala Lumpur di Zepp KL malam Sabtu lalu.

KUALA LUMPUR – “Buat Kak Adibah, lagu ini buat kamu tidak kira di mana saja kamu berada.”

Demikian ucapan penyanyi terkenal Indonesia, Marcell Siahaan sebelum mendendangkan lagu Takkan Terganti pada Konsert Marcell Dua Dekade Live In Kuala Lumpur, malam Sabtu lalu.

Luahan dari lubuk hati terpaling dalam itu dizahirkan untuk penghibur idolanya, Allahyarham Adibah Noor yang banyak menyuntik inspirasi kepada kerjaya muziknya.

Kemunculan di Zepp Kuala Lumpur adalah kunjungan terbaharu Marcell selepas kali terakhir mengadakan persembahan mega di negara ini sekitar 2017.

Persembahan tersebut juga sekali gus meraikan sambutan ulang tahun ke-20 sebagai anak seni bersama peminat Malaysia.

Selain Takkan Terganti, Marcell yang memukau lebih 2,000 penonton dalam persembahan berdurasi lebih dua jam turut membawakan 20 seleksi hit signifikasi usia kariernya termasuk lagu daripada penyanyi lain.

Sudah pasti ‘mood’ romantis melatari suasana sebaik lagu Jangan Pernah Berubah, Peri Cintaku, Sudahlah, Ku Bisa Kau Bisa dan Ketika Kau Menyapa menjadi mukadimah persembahan.

Lebih bermakna apabila segmen kedua seakan sesi ‘tribute’ kepada penyanyi lain sebaik dia memilih membawakan semula enam dendangan termasuk Bahasa Kalbu nyanyian asal Titi DJ.

Untaian lain seperti Putri Remaja, Berhenti Berharap, Kini, Rozana dan Akhir Cinta disampaikan dengan susunan muzik baharu yang terus membuai emosi khalayak.

Menghangatkan lagi gelora jiwa apabila Candu Asmara dan Hanya Memuji pula berkumandang sebelum pentas ditinggalkan bersama Firasat, Semusim serta Mendendam.

Seakan berat kaki untuk melangkah keluar dari gelanggang gah tersebut kerana bagai tidak puas mendengar bait lagu yang dialunkan dengan sepenuh jiwa oleh anak jati Bandung itu.

Bukan hanya keindahan melodi serta seni kata membuatkan setiap bait lagu ‘melekat’ di sanubari khalayak, santunan vokalnya cukup istimewa dan keunikan itu membezakan Marcell dengan penghibur lain.

Celotehnya juga bersahaja namun sarat penghargaan buat insan yang setia bersamanya sejak dua dekad melayari perjalanan dalam arena muzik hingga membawanya ke negara ini.

Tidak hairan bakat, vokal, personaliti, kredibiliti serta keperibadian suami kepada aktres dan penyanyi, Rima Melati Adams itu umpama pakej yang membuatkan dia terus disayangi ramai.

Malah tidak hairan, Konsert Marcell Dua Dekade cukup untuk membuatkannya jatuh cinta berulang kali.- KOSMO ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI