SEATTLE, WASHINGTON – Seorang tuan tanah yang tinggal di bandar Seattle, negeri Washington didapati bersalah membunuh dua penyewa dalam kes yang dikenali secara meluas sebagai ‘pembunuhan beg pakaian TikTok’ di media sosial, lapor laman berita Wion News kelmarin.
Mayat mangsa ditemui di dalam beg-beg pakaian yang dihanyutkan ke Pantai Alki di Seattle pada 2020.
Michael Dudley, 64, didapati bersalah membunuh Jessica Lewis, 35, dan teman lelakinya, Austin Wenner, 27, kata hakim.
Tertuduh dilaporkan menembak dan mencacatkan mayat mangsa sebelum menyumbat anggota badan mereka ke dalam beberapa beg pakaian.
Kes itu tular di seluruh Amerika Syarikat dengan video penemuan mayat mangsa dimuat naik di laman TikTok.
Pendakwa raya tidak mempunyai saksi atau bukti saintifik yang mengaitkan Dudley secara langsung dengan jenayah itu, tetapi mereka mempunyai banyak bukti lain.
Mahkamah di Seattle dalam perbicaraan kes itu mendengar keterangan daripada jiran yang mengaku mendengar bunyi tembakan dan seorang lelaki merayu untuk tidak dibunuh.
Dokumen mahkamah menunjukkan Lewis dan Wenner terlibat dalam pertikaian mengenai sewa yang tidak dibayar kepada Dudley, pemilik rumah yang mereka tinggal.
Dudley akan dijatuhi hukuman pada Mac 2023 dan berdepan hukuman penjara seumur hidup. – Agensi














