fbpx

CAAM laksana sistem baharu pendekkan laluan mendarat pesawat

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Anthony Loke (tengah) ketika meninjau pusat koordinasi Sistem Mencari dan Menyelamat (SAR) di Pusat Kawalan Trafik Udara Kuala Lumpur (KLATCC), Sepang di sini, hari ini. GAMBAR: FAISOL MUSTAFA

SEPANG- Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) akan melaksanakan sistem baharu Laluan Pelepasan Standard (SIDs) dan Laluan Pendaratan Standard (STARs).

Sistem itu bertujuan memendekkan laluan pendaratan pesawat di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan KLIA2 bermula 18 Mei depan.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook berkata, sistem itu menjadikan kawalan trafik udara lebih efisien selain memberi nilai tambah kepada syarikat penerbangan daripada segi penjimatan bahan bakar, perjalanan efektif kepada para penumpang serta manfaat pengurangan karbon.

“Kebiasaannya, sesebuah pesawat perlu membuat beberapa pusingan sebelum mendarat dan perlu menunggu giliran masing-masing, namun dengan sistem baharu itu pergerakan pesawat akan lebih ‘straightforward’ dan dapat dipendekkan.

“Apabila pergerakan pesawat dipendekkan, maka masa untuk mendarat lebih pantas dan tidak perlu beratur panjang.

“Apa yang dapat dicapai adalah penggunaan bahan bakar yang lebih menurun dengan penjimatan kos sebanyak RM500 juta setahun untuk syarikat penerbangan yang beroperasi di KLIA, ia merupakan satu penjimatan besar dan diharap dapat membantu sektor aviasi,” katanya kepada pemberita selepas meninjau operasi Pusat Kawalan Trafik Udara Kuala Lumpur (KLATCC) di sini tadi.

Tambah Anthony, sistem berkenaan juga bakal memanfaatkan para penumpang berikutan ia mampu memendekkan masa penerbangan di antara 18 hingga 22 minit.- KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI