PETALING JAYA – Digital Nasional Berhad (DNB) yakin pelaksanaan rangkaian 5G bakal menjangkau 40 peratus liputan kawasan berpenduduk (COPA) di seluruh negara menjelang Disember, tahun ini.
Menurut kenyataan DNB, malah pihak tersebut yakin berada di landasan untuk mencapai komitmen 80 peratus COPA pada 2024 atau lebih cepat.
“Rangkaian tersebut bakal mencapai 14 juta penduduk di lokasi rangkaian yang telah ditetapkan dan melebihi 30 juta penduduk dalam tempoh dua tahun akan datang.
“Kira-kira 40 peratus COPA akan dicapai dengan sekitar 3,500 tapak berbanding 4,018 tapak yang dirancang sebelum ini.
“Pengurangan kiraan tapak tersebut berpunca daripada masalah rantaian bekalan pada awal tahun ini dan kelewatan dalam mendapatkan kelulusan pihak berkuasa tempatan terutamanya di Selangor dan Sarawak,” katanya dalam kenyataan.
DNB memaklumkan, sebahagian besar masalah telah selesai dan rangkaian DNB akan terus dilaksanakan secara progresif pada 2023 sebagaimana yang dirancang.
“Bagi mengatasi kelewatan tersebut dan mencapai 40 peratus COPA, DNB telah mengubah hala pelaksanaan ke negeri-negeri yang sebelum ini dijadualkan pelaksanaannya pada tahun 2023 dan seterusnya.
“Buat masa ini, rangkaian 5G Malaysia telah meliputi hampir keseluruhan Wilayah Persekutuan, Putrajaya dan Selangor, selain kawasan-kawasan utama di Pulau Pinang, Johor dan Negeri Sembilan serta sebahagian daripada Melaka, Perak, Kelantan, Sabah dan Sarawak,” katanya.
Dalam masa sama, Ketua Pegawai Operasi DNB, Nasution Mohamed berkata, pihaknya yakin 80 peratus COPA bakal dicapai dalam tempoh 18 bulan akan datang.
Ujarnya, ia berikutan atas dasar permintaan untuk perkhidmatan 5G serta sokongan diterima untuk mendapatkan kelulusan yang diperlukan daripada pelbagai pihak berkuasa negeri dan tempatan bagi mempercepatkan pelaksanaan rangkaian tersebut.
Sementara itu, Ketua Ericsson Malaysia, Sri Lanka & Bangladesh, David Hägerbro pula berkata, pelaksanaan rangkaian 5G untuk DNB adalah antara yang terpantas di dunia kerana pelaksanaannya baru saja dimulakan pada Oktober 2021. – KOSMO! ONLINE














