fbpx

Kapten kapal belajar di lautan terima ijazah sarjana

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Thuban (kiri) dan isteri, Hasivini ceria menunjukkan skrol Ijazah Sarjana Pentadbiran Perniagaaan yang diterima pada Majlis Konvokesyen UMT ke-20 di Kuala Nerus hari ini.

KUALA NERUS – Tatkala pelajar lain menghabiskan masa belajar secara atas talian sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di rumah, seorang kapten kapal pula terpaksa mengikuti kelas di lautan.

Pengorbanan P. Thuban, 32, yang terpaksa membahagikan masa antara tugas hakiki dan pelajaran itu akhirnya berbaloi apabila dia berjaya menamatkan Ijazah Sarjana Pentadbiran Perniagaan mengikut jadual dalam tempoh dua tahun.

Tambah istimewa, dia turut meraikan kejayaan itu bersama isteri, M. Hasivini 31, yang turut menerima ijazah sarjana sama pada majlis Konvokesyen Universiti Malaysia Terengganu (UMT) ke-20 di sini hari ini.

Thuban yang berasal dari Rawang, Selangor berkata, cabaran terbesar ialah perlu menghadiri kuliah secara konsisten dengan sebahagian besarnya berlangsung sewaktu dia sedang mengemudi kapal di lautan.

“Paling mencabar apabila kapal yang saya kemudi memasuki perairan negara asing berikutan liputan internet agak lemah.

“Saya lega akhirnya pengajian saya selesai mengikut jadual. Ijazah Sarjana Pentadbiran Perniagaan ini bakal menjadi baru loncatan untuk berubah karier pada masa terdekat,” katanya ketika ditemui Kosmo! selepas menerima skrol ijazah sarjana berkenaan di sini hari ini.

Thuban menjelaskan beliau mahu mencari karier baharu di daratan yang membolehkannya meluangkan lebih masa bersama isteri yang baru dikahwininya.

Tambahnya, kehidupan sebagai kapten kapal yang memerlukannya sekurang-kurangnya lapan bulan berada di laut menyebabkan dia jarang bertemu isteri.

“Saya mahu membina keluarga yang lebih bahagia bersama isteri dan anak-anak yang bakal lahir. Doakan hasrat kami dimakbulkan,” katanya.

Dalam pada itu, Thuban memberitahu abangnya, P. Yuvarajah yang merupakan ketua jurutera kapal sebuah syarikat swasta sepatutnya turut sama menerima skrol Ijazah Sarjana Pentadbiran Perniagaan hari ini, namun tidak dapat pulang kerana cuaca buruk di Laut China Selatan. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI