fbpx

Belanjawan Johor 2023 RM1.731 bilion dilulus

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
PUAD ZARKASHI memaklumkan DUN Johor meluluskan Belanjawan Johor 2023 berjumlah RM1.731 bilion diluluskan.

ISKANDAR PUTERI – Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor hari ini meluluskan Belanjawan Johor 2023 berjumlah RM1.731 bilion.

Speaker DUN, Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi berkata, belanjawan itu diluluskan secara sebulat suara pada hari terakhir Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Keempat di Kota Iskandar di sini.

Belanjawan Johor 2023 bertemakan ‘Maju Johor, Makmur Bersama Rakyat’ dibentangkan oleh Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi pada 1 Disember lalu.

Selepas dua tahun berturut-turut Johor merekodkan belanjawan defisit pada 2021 dan 2022, Belanjawan 2023 ini adalah belanjawan lebihan sebanyak RM2.44 juta.

Ketika membentangkan Belanjawan Johor 2023 pada awal bulan ini, Onn Hafiz berkata, Johor diunjurkan mengutip hasil kira-kira RM1.734 bilion manakala perbelanjaan pula dianggarkan RM1.731 bilion.

Beliau berkata, Belanjawan Johor 2023 membabitkan RM69.51 juta perbelanjaan tanggungan manakala bakinya RM1.662 bilion adalah perbelanjaan bekalan.

“Pada tahun depan, hasil Johor dianggarkan RM1.734 bilion dengan perbelanjaan pula sebanyak RM1.731 bilion. Oleh itu, terdapat lebihan RM2.44 juta.

“Sejumlah RM1.126 bilion diperuntukkan bagi tujuan belanja mengurus membabitkan emolumen RM 559.54 juta, perkhidmatan dan bekalan (RM316.73 juta), aset (RM 27.86 juta), pemberian dan kenaan bayaran tetap (RM 209.37 juta) dan perbelanjaan lain (RM 13.24 juta),” katanya ketika membentangkan Belanjawan Johor 2023 di Bangunan Sultan Ismail, di sini.

Enam teras dalam urus tadbir belanjawan 2023 ialah Urus Tadbir Kerajaan, Pembangunan Ekonomi; Jaringan Sosial, Kemudahan dan Keperluan Asas; Keselamatan, Kebersihan dan Alam Sekitar serta Orang Muda Johor.

Onn Hafiz yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Machap berkata, ekonomi Johor kini kembali rancak dalam era pasca pemulihan Covid-19.

“Pada hemat saya, kerancakan kemajuan ekonomi Johor ini disumbangkan oleh empat faktor utama terutama kedudukan politik yang stabil.

“Kedua adalah polisi mesra pelabur yang digagaskan bagi memastikan Johor kekal menjadi destinasi utama pilihan pelabur selain pembukaan semula sempadan Johor-Singapura pada 1 April lalu.

“Penambahbaikan sistem penyampaian awam dan pembangunan modal insan turut menjadi faktor ekonomi Johor semakin rancak,” kata beliau. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI