fbpx

Piala Dunia: La Roja pecat Enrique, lantik De La Fuente

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
ENRIQUE dipecat sebagai pengendali Sepanyol ekoran prestasi buruk pasukan itu apabila gagal mara ke suku akhir. – AFP

DOHA – Persatuan Bola Sepak Sepanyol (RFEF) akhirnya memecat ketua jurulatih pasukan itu, Luis Enrique susulan prestasi mengecewakan pada kempen Piala Dunia 2022.

Enrique, 52, terpaksa menerima ‘hukuman’ itu selepas Sepa­nyol gagal menepati ramalan antara pasukan pilihan kejohanan apabila tersingkir di pu­singan 16 terbaik.

Ia gara-gara kegagalan skuad La Roja memanfaatkan penguasaan penuh selama 120 minit ke atas Maghribi sebelum tewas 0-3 menerusi penentuan sepakan penalti baru-baru ini.

RFEF tidak menunggu lama apabila memilih pengendali skuad bawah 21 tahun (B21) Sepanyol, Luis De La Fuente bagi mengisi kekosongan yang ditinggalkan Enrique.

“RFEF telah menghantar laporan kepada presiden, Luis Rubiales mengenai projek baharu skuad kebangsaan dengan sasaran untuk meneruskan perkembangan yang dilakukan oleh Enrique.

“Presiden (Rubiales) dan ­pengarah sukan, Jose Francisco Molina telah memaklumkan perkara ini kepada Enrique. Pihak kami berterima kasih ter­hadap sumbangan Enrique selama bersama pasukan ini,” menurut kenyataan RFEF.

Enrique turut memohon maaf kepada para penyokong kerana gagal membantu Sepanyol sambil berharap mereka dapat terus berdiri teguh di belakang De La Fuente.

“Cepatnya masa berlalu selepas saya memulakan tugas ini empat tahun lalu. Ia merupakan sesuatu yang amat istimewa untuk menjadi sebahagian daripada ini.

“Saya tidak akan pernah lupa jasa RFEF kerana melantik saya sebanyak dua kali untuk jawatan ini. Terima kasih kepada para penyokong yang sentiasa bersama pada waktu yang paling sukar.

“Sudah sampai masanya untuk mengucapkan selamat tinggal. Pasukan ini perlukan sokongan sepenuhnya agar Luis De La Fuente dapat mencapai segala yang diinginkan,” jelasnya.

Enrique yang kali pertama dilantik sebagai ketua jurulatih Sepanyol pada 2018, menjadi pengendali keempat di Piala Dunia 2022 dipecat daripada tugas bersama negara masing-masing.

Kehadiran De La Fuente, 61, dijangka diterima de­ngan baik dalam kem Sepanyol kerana pernah melatih Marco Asensio, Unai Simon, Eric Garcia, Pau Torres, Ped­ri, Carlos Soler dan Dani Olmo dalam skuad B15 negara itu sebelum ini. – AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI