fbpx

Pelancong asing diminta tidak gusar bercuti di Bali

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
PELANCONG asing diminta tidak risau dengan pelaksanaan undang-undang kesalahan melakukan hubungan seks sebelum berkahwin di Bali. - Foto AFP

JAKARTA – Ketua Pelancongan Bali, Tjokorda Bagus Pemayun berkata bahawa warga asing tidak seharusnya dihalang daripada melawat pulau itu selepas Parlimen Indonesia meluluskan rang undang-undang menjadikan hubungan seks sebelum perkahwinan dan perbuatan bersekedudukan sebagai kesalahan jenayah, lapor portal berita CNA semalam.

Di bawah kanun jenayah baharu yang diluluskan Selasa lalu itu, perbuatan orang ramai melakukan hubungan seks di luar perkahwinan atau bersekedudukan boleh dilaporkan kepada polis.

Bagaimanapun, berdasarkan undang-undang tersebut, hanya ibu bapa, pasangan atau anak yang boleh melaporkan kepada pihak berkuasa selepas mereka didapati melakukan hubungan seks terlarang itu.

Berkuat kuasa dalam tempoh tiga tahun lagi, hukuman bagi pesalah seks sebelum berkahwin itu ialah maksimum satu tahun penjara atau denda sebanyak 10 juta rupiah (RM2,820).

Bagi pasangan yang bersekedudukan pula, hukuman yang dijatuhkan kepada pesalah adalah penjara enam bulan atau denda sebanyak 10 juta rupiah.

Namun, rang undang-undang itu menimbulkan kebimbangan bahawa warga asing akan dihalang daripada pergi ke Indonesia termasuk ke pulau peranginan terkenal, Bali.

Dalam temu bual bersama CNA Rabu lalu, Pemayun berkata, pelancong asing tidak perlu bimbang dengan pelaksanaan undang-undang tersebut di negara berkenaan.

“Jangan risau kerana berdasarkan perbincangan kami dengan pelbagai persatuan hotel dan pelancongan, hotel-hotel tidak akan meminta status perkahwinan (dokumentasi).

“Apabila pelancong-pelancong tiba di hotel, mereka tiba untuk beriadah. Mereka akan dilayan seperti sekarang (tanpa diperiksa status perkahwinan mereka),” katanya.

Putu Winastra yang mengetuai Persatuan Agensi Lawatan dan Pelancongan Indonesia di Bali juga berkata, orang ramai yang datang ke Bali akan tetap berasa selesa kerana pihak hotel akan memastikan privasi mereka.

“Jika tiba bersama rakan kongsi, pihak hotel akan memberikan mereka bilik. Saya pasti pihak hotel tidak akan meminta sijil nikah anda. Sama ada anda sudah berkahwin atau tidak, mereka tidak akan bertanya kepada anda kerana ia adalah perkara peribadi.

Kenyataan Winastra dan Pemayun itu dibuat di tengah-tengah kebimbangan bahawa kanun jenayah baharu itu boleh menjejaskan ekonomi Indonesia yang baru pulih daripada pandemik Covid-19.

Pengembara-pengembara dari Australia merupakan kumpulan terbesar pelawat asing ke Bali dengan kira-kira sejuta daripada mereka melawat Bali setiap tahun sebelum wabak itu menjadi serius di Indonesia.

Pada Rabu lalu, kerajaan Australia berkata bahawa pihaknya sedang mencari maklumat lanjut mengenai kanun keseksaan baharu itu kerana ia mungkin memberi kesan kepada rakyatnya di Indonesia.

Bagaimanapun, Winastra berkata, tidak ada sebab untuk mengelak pulau peranginan itu daripada dikunjungi oleh pelancong.

“Kami tidak mahu pelancong mengelak (pergi ke) Bali. Kami optimis pada tahun 2023, akan ada peningkatan dalam lawatan. Jadi, kami berharap kanun jenayah tidak akan memberi sebarang kesan kerana hotel akan memastikan privasi orang ramai,” tambahnya. – Agensi

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI