fbpx

Bonda Nor lancar lima buku baharu

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Bonda Nor (kanan) bersama Mastura (dua dari kanan) serta para penulis bergambar selepas majlis pelancaran buku terbaharu penulis itu di Shah Alam semalam.

SHAH ALAM – Pengalaman pulih daripada kanser payudara dan kegigihan seorang ibu empat anak menamatkan pengajian merupakan antara tarikan yang dinukilkan dalam lima buah buku terbaharu terbitan penulis prolifik, Bonda Nor.

Kisah itu dicoretkan di dalam buku Berani Menjadi Aku, Terbang Bersama, Mencari Bahagia, Take Care dan Suami Limited Edition.

Bonda Nor berkata, selain beliau, buku itu ditulis oleh empat individu terpilih iaitu Dr. Mazli Sham Abdullah, Sharifah Mardziah, Jamilah Mustafa dan Shakirah Md. Din.

Katanya, kesemua penulis itu dilatih untuk menghasilkan karya mengenai kisah hidup masing-masing melalui program Golden Circle Akademi Bonda Nor.

“Kisah yang dikongsikan amat menarik. Sebagai contoh pengalaman cancer survivor melawan penyakit itu sehingga dia sembuh dengan sokongan suami dan kegigihan seorang ibu menamatkan pengajian peringkat PhD walaupun perlu menjaga anak istimewa.

“Apa yang penting, saya tekankan kepada mereka agar membawa pembaca kepada Allah dalam setiap manuskrip yang ditulis dan diketengahkan,” katanya yang juga Pengasas Kaedah Membaca Ekspres-i.

Bonda Nor atau nama sebenarnya Norli Madlan ditemui ketika majlis pelancaran buku tersebut di Pesta Buku Antarabangsa Selangor di Pusat Konvensyen Awam Selangor di sini semalam.

Pelancaran itu dirasmikan oleh Pengarah Perbadanan Perpustakaan Awam Selangor, Datin Paduka Mastura Muhamad.

Sementara itu, Mastura berkata, beliau tertarik dengan buku berkonsep dakwah santai tersebut kerana kandungannya yang sampai ke hati.

“Saya gembira dan berbangga dengan usaha yang sangat baik seperti ini dan akan sentiasa menunjukkan sokongan saya.

“Saya harap akan lebih banyak lagi buku seumpama ini akan dikeluarkan bagi meluaskan lagi usaha dakwah yang memberi manfaat kepada pembaca,” katanya.

Dalam pada itu, Mazli Sham berkata, dia teruja apabila buku solo pertama yang dihasilkan akhirnya berjaya diterbitkan.

Untuk rekod, Bonda Nor telah menghasilkan 50 naskhah buku berkonsepkan motivasi, keibubapaan dan dakwah santai.

Pesta Buku Antarabangsa Selangor berlangsung selama 11 hari bermula pada 1 hingga 12 Disember ini. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI