PETALING JAYA – Selepas dihebohkan dengan kecenderungan mendalami agama Islam, pelakon Jasmine Suraya tiba-tiba mengejutkan khalayak apabila memberi bayangan seolah-olah sedang menghitung hari bakal menamatkan zaman bujang dalam masa terdekat.
Seolah-olah teruja namun dalam masa sama masih mahu berahsia, pemilik nama sebenar Jasmine Suraya Chin Xian Mei turut membuat perkongsian gambar dan kapsyen dengan tanda pagar #savethedate menerusi akaun media sosialnya.
Begitupun, pelakon berusia 33 tahun itu meminta diberikan ruang dan menunggu masa sesuai sebelum membuat sebarang pengumuman rasmi dalam Instagramnya.
“Saya minta maaf tak dapat ulas lanjut mengenai perkara tersebut (kahwin) sekarang sebab tengah sibuk dengan penggambaran.
“Apa-apa (perincian) saya akan umumkan dalam Instagram saya. Tunggu ya,” katanya ketika dihubungi Kosmo! Online.
Menurut aktres berasal dari Kuching, Sarawak itu, dia kini sedang menjalani penggambaran untuk sebuah kempen produk.
Terdahulu, hantaran yang menampilkan gambar hitam putih sepasang sepatu lelaki dan wanita berlatarkan jalan raya tanpa kenderaan serta keterangan gambar #countingdays #jandj #loveseason dan #savethedate seperti mengesahkan Jasmine sedang membilang menjelang hari bahagia.
Dalam ruangan kapsyen, dia turut menulis: “Saya tidak pernah bermimpi untuk ada seseorang selain awak.”
Menerusi hantaran berasingan sebelum ini, Jasmine turut memaparkan gambar daun bertulis tanda pagar sama menunjukkan bakal berlaku peristiwa penting dalam fasa kehidupan bintang drama Adellea Sofea itu.
Barangkali enggan mencetuskan perbalahan dalam lapangan pengikut atau selesa membiarkan teka-teka tanpa jawapan, Jasmine bagaimapun tidak membuka ruangan komen pada gambar berkenaan.
Sebelum ini, pelakon yang terkenal dengan sikap ramah itu juga tidak pernah mendedahkan hubungan cintanya. Situasi tersebut membuatkan ramai peminat tidak sabar menunggu pengumuman yang bakal dilakukan.
Pada Ogos lalu kelibat Jasmine yang tampil menghadiri majlis ilmu kelolaan Neelofa turut mencetuskan perhatian umum. Sehingga kini, pelakon Villa Kristal itu juga enggan memberi pengesahan tentang status agamanya biarpun mengakui tenang mendalami Islam termasuk mengenal 99 nama Allah.- KOSMO! ONLINE






