fbpx

Dua lagi bekas pegawai syarikat kurier didakwa rasuah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Abdul Hadi (depan kanan) dan Ruslan (depan kiri) ketika hadir di Mahkamah Sesyen Shah Alam, hari ini.

SHAH ALAM – Dua bekas pegawai kanan syarikat kurier mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen hari ini atas tuduhan rasuah keseluruhan RM26,000 bagi mempercepatkan bayaran kepada syarikat pembekal khidmat pengangkutan dan ulang-alik di Sabah dan Sarawak, dua tahun lalu.

Mereka iaitu Abdul Hadi Aziz Wong, 48, dan Ruslin Sapari, 54, masing-masing membuat pengakuan tersebut selepas pertuduhan dibacakan secara berasingan di hadapan Hakim Rozilah Salleh.

Abdul Hadi yang sebelum ini sebagai Ketua Kontrak dan Pengurusan Armada didakwa tiga pertuduhan menerima suapan keseluruhan bernilai RM16,000.

Ruslin Sapari pula ketika kejadian bertugas sebagai Penolong Pengurus Operasi Pengurusan Pengangkutan pula dituduh dua pertuduhan rasuah berjumlah RM10,000.

Kesemuanya adalah bertujuan bagi membantu mempercepatkan bayaran oleh agensi itu kepada sebuah syarikat OnxOn Logistik Sdn. Bhd. bagi kerja-kerja Outsourcing Linehaul dan Shuttle Services di Sabah dan Sarawak.

Wang itu diterima menerusi pindahan wang atas talian dengan kesalahan dilakukan mereka antara 11 Jun hingga 23 Julai 2020 di dua cawangan bank iaitu di USJ Subang Jaya dan Ara Damansara dekat sini.

Pendakwaan terhadap kedua-dua tertuduh dilakukan mengikut Seksyen 16(a) (A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan boleh dihukum dibawah Seksyen 24 akta sama.

Sabit kesalahan, boleh dipenjara sehingga 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000, mengikut mana lebih tinggi bagi setiap pertuduhan.

Timbalan Pendakwa Raya Irwan Shah Abdul Samat menawarkan jaminan RM8,000 kepada Abdul Hadi dan RM5,000 bagi Ruslan bersama seorang penjamin masing-masing selain syarat tambahan menyerahkan pasport dan melaporkan diri di pejabat SPRM.

Pembelaan diwakili Peguam Irzan Iswatt Mohd. Noor dan Najiah Zaimah Aris masing-masing memohon jaminan dikurangkan kepada RM5,000.

Mahkamah kemudiannya menetapkan jaminan RM7,000 kepada Abdul Hadi dan Ruslan sebanyak RM5,000 bersama penjamin selain membenarkan syarat tambahan. Sebutan semula kes pada 13 Januari tahun depan.

Kosmo! pada 28 September lalu melaporkan bekas ketua perancang bahagian pengurusan pengangkutan sebuah syarikat kurier dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Melaka atas 26 pertuduhan menerima suapan berjumlah keseluruhan RM248,000.

Tertuduh, Hazri Mokhtar, 43, bagaimanapun mengaku tidak bersalah sejurus kesemua pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa mahkamah di hadapan Hakim Elesabet Paya Wan. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI