fbpx

Zaliha teruja jadi wanita pertama terajui KKM

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Zaliha (kiri) diiringi Harjeet Singh ketika mengimbas kad perakam waktu sebagai tanda memulakan tugas secara rasmi di Bangunan Kementerian Kesihatan Malaysia di sini, hari ini. GAMBAR : FAISOL MUSTAFA

PUTRAJAYA- Setelah 67 tahun ditubuhkan, Kementerian Kesihatan (KKM) hari ini melakar sejarah apabila buat julung kali menerima menteri dalam kalangan wanita bagi menerajui portfolio itu.

Kehadiran Menteri Kesihatan, Dr. Zaliha Mustafa di Blok E7, Kompleks F, Presint 1, turut disambut Ketua Setiausaha Kementerian Kesihatan, Datuk Harjeet Singh Hardev Singh.

“Perasaan saya tentulah amat gembira sebab jadi wanita pertama dilantik memimpin kementerian ini dan cukup teruja.

“Saya akan manfaatkan pengalaman ketika di Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat selama 22 bulan sebelum ini yang dekat dengan bidang kesihatan,” katanya kepada pemberita di sini, tadi.

Zaliha merupakan menteri yang ke-23 menerajui KKM setelah mula dibentuk penjajah Inggeris pada 1955.

Mengulas lanjut, beliau yang pernah menjadi Setiausaha Politik Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail itu melahirkan keyakinan dapat membantu negara terutamanya mengenai isu kesihatan awam.

Meskipun baru hari pertama berkhidmat, beliau dalam nada mesra berkata, ramai doktor wanita di seluruh negara sudah menghubunginya, mengutarakan pelbagai idea untuk kementerian.

Untuk rekod, Zaliha yang merupakan graduan perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia pada 1989, aktif dalam badan bukan kerajaan antaranya Jamaah Islah Malaysia dan Mercy Malaysia.

Beliau yang sudah berkahwin dan memiliki empat anak itu juga berpengalaman bertugas di Kumpulan Perubatan Penawar selepas menjadi pegawai perubatan di beberapa hospital awam. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI