fbpx
MESSI (tengah) bersama rakan-rakan sepasukan meraikan kejayaan Argentina melangkah ke peringkat suku akhir selepas menewaskan Australia 2-1 pada Piala Dunia Qatar 2022 di Stadium Ahmed bin Ali awal pagi semalam. – AFP

Piala Dunia: Messi kunci kemaraan Argentina

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

DOHA – Ketua jurulatih Argentina, Lionel Scaloni memuji ketenangan yang dipamerkan oleh anak-anak buahnya untuk mara ke peringkat suku akhir Piala Dunia Qatar 2022 dengan menewaskan Australia 2-1 pada pusingan 16 terbaik awal pagi semalam.

Dalam perlawanan di Stadium Ahmed bin Ali itu, skuad La Albiceleste meraih gol menerusi jaringan Lionel Messi dan Julian Alvarez, manakala pasukan The Socceroos mendapat tuah hasil gol sendiri yang dilakukan oleh pertahanan lawan, Enzo Fernandez.

Kata Scaloni, perlawanan menentang Australia tidak semudah yang disangka kerana wakil be­nua Asia itu memberikan tenta­ngan yang cukup sengit khusus­nya pada penghujung perlawanan sehingga hampir mendapatkan ja­ringan penyamaan.

“Pasukan telah mengha­rungi tiga perlawanan cukup luar ­bia­sa­ kerana kita boleh tersingkir daripada salah satu perlawanan tersebut seandainya gagal me­raih keputusan yang diharapkan.

“Namun, barisan pemain telah menunjukkan prestasi yang baik serta kematangan di atas padang dalam memastikan perlawanan kali ini berakhir dengan tempoh 90 minit.

“Saya teruja barisan pemain masih percaya dengan falsafah bola sepak yang saya cuba terap­kan meskipun harus diakui me­reka sedikit tertekan pada penghujung saingan selepas Australia berjaya merapatkan kedudukan menjadi 1-2.

“Apa yang pasti, tumpuan kini perlu diberikan kepada perlawanan suku akhir menentang Belanda yang kita tahu memiliki kualiti tersendiri dan ia bakal jadi pertembungan epik untuk disaksikan,” kata Scaloni.

Sementara itu, tonggak tengah Argentina, Alexis Mac Allister percaya kejayaan pasukan untuk melangkah ke kelompok lapan pasukan terbaik terletak di ta­ngan kapten, Messi yang menja­ringkan satu gol pada perlawanan tersebut.

“Ketika semua pemain agak gemuruh di atas padang, Messi telah menunjukkan ketenangan dan pamer prestasi terbaiknya untuk meledak gol pembukaan, sekali gus membolehkan pasukan beraksi seperti biasa.

“Saya percaya dia akan te­rus menjadi sandaran pasukan dalam usaha melangkah sejauh mungkin pada kempen kali ini,” kata pemain kelab Brighton ber­usia 24 tahun itu.

Sebagai rekod, Argentina mem­buru trofi Piala Dunia buat kali ketiga dalam sejarah sejak kali terakhir memenangi kejohanan bola sepak terbesar itu pada edisi 1986. – AGENSI

POPULAR