fbpx

Peserta RTK Paya Laka terima bantuan khas RM500

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
WAN ROSDY menyempurnakan Majlis Pecah Tanah Projek Pembangunan Infrastruktur Agrotourism Paya Laka di Rompin hari ini.

ROMPIN – Seramai 262 peserta Rancangan Tanah Kelompok (RTK) Paya Laka di sini, mendapat durian runtuh apabila menerima bantuan khas RM500 seorang bagi meringankan bebanan ekoran kenaikan kos sara hidup.

Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, bayaran itu dimasukkan ke akaun bank penerima oleh pihak Perbadanan Kemajuan Pertanian Pahang (PKPP).

“Saya dengan sukacitanya ingin memaklumkan khabar gembira kepada 262 orang peserta RTK Paya Laka bahawa pada hari ini, pihak PKPP melalui anak syarikat iaitu PKPP Agro Sdn. Bhd. telah mengkreditkan sumbangan Bantuan Khas berjumlah RM500 seorang secara dalam talian.

“Diharapkan dengan bantuan khas ini, ia dapat mengurangkan bebanan yang ditanggung para peserta RTK menjalani kehidupan seharian yang semakin mencabar,” katanya ketika berucap pada Majlis Pecah Tanah Projek Pembangunan Infrastruktur Agrotourism Paya Laka, di sini, hari ini.

Wan Rosdy berkata, dalam tempoh 27 tahun penubuhan projek RTK Paya Laka itu, sebanyak RM12.682 juta bayaran saham sudah dibuat kepada para peserta.

Beliau memberitahu, bagi tahun ini sahaja, bayaran yang sudah dibuat secara dalam talian adalah sebanyak tiga kali dengan jumlah RM3,000 kepada setiap peserta.

“Saya dimaklumkan bahawa Paya Laka merupakan kawasan sawah padi seluas 324 hektar yang diusahakan oleh PKPP melalui PKPP Agro Sdn. Bhd. sejak 1995 melibatkan 262 orang peserta.

Dalam pada itu beliau berkata, projek Pembangunan Infrastruktur Agrotourism Paya Laka bertujuan meningkatkan ekonomi masyarakat tempatan serta menarik pelancong dalam dan luar negeri ke daerah Rompin.

Katanya, perancangan membangunkan projek itu sudah dibawa kepada perhatiannya dan beliau bersetuju agar PKPP membuat permohonan peruntukan dalam Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) melalui Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) pada 2021.

“Alhamdulillah, akhirnya KPLB dan Unit Perancang Ekonomi (EPU) meluluskan peruntukan RM5 juta menerusi RMK12 dan projek ini akan siap dalam tempoh dua tahun.

“Sesungguhnya, saya percaya Agrotourism Paya Laka ini akan menjadi satu lagi destinasi pelancongan di negeri khususnya di daerah Rompin serta mampu menarik ramai pelancong kerana masih tidak banyak destinasi pelancongan yang berasaskan sawah padi di negeri ini,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI