fbpx

Dakwaan seleweng RM600 bilion, Muhyiddin tidak takut disiasat

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Muhyiddin.

PETALING JAYA – Bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin menegaskan bahawa beliau tidak takut disiasat berhubung dakwaan menyeleweng dana kerajaan berjumlah RM600 bilion.

Ia susulan selepas dua Ahli Parlimen daripada Pakatan Harapan (PH) membuat laporan polis terhadapnya berkaitan tuduhan tersebut, baru-baru ini.

Ahli Parlimen Pagoh itu berkata, jika terdapat salah laku rasuah atau penyelewengan, tindakan undang-undang boleh di ambil terhadap si pelaku.

“Saya tidak takut untuk disiasat kerana saya tahu saya tidak seleweng duit rakyat yang diamanahkan kepada kerajaan untuk digunakan bagi tujuan membantu rakyat ketika zaman susah,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Muhyiddin berkata, beliau juga tidak pasti angka (RM600 bilion) itu dipetik dari mana namun berpendapat bahawa ia merujuk kepada lapan Pakej Rangsangan Ekonomi bernilai RM530 bilion yang mana sebahagian besarnya adalah berbentuk non-fiskal.

“Ini termasuk pengeluaran KWSP i-Lestari, i-Sinar, i-Citra bernilai RM145 bilion, pengurangan pembayaran KWSP (RM10 bilion), moratorium bayaran pinjaman bank (RM180 bilion), jaminan kerajaan untuk pinjaman syarikat sebanyak RM80 bilion dan inisiatif-inisiatif lain.

“Tak mungkin saya seleweng wang ini kerana ia adalah wang individu atau bank yang tidak melibatkan perbelanjaan kerajaan. Saya sebagai Perdana Menteri ketika itu tidak ada apa-apa kuasa ke atas wang ini,” jelasnya.

Mengulas lanjut, beliau berkata, berdasarkan kenyataan bekas Menteri Kewangan, Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz pada 29 Jun 2021 lalu, perbelanjaan melibatkan wang kerajaan dalam bentuk suntikan fiskal adalah sebanyak RM83 bilion.

Jelasnya, ia merangkumi perbelanjaan pembelian vaksin bernilai RM5 bilion dan pelbagai bentuk bantuan langsung tunai untuk rakyat serta bantuan lain yang dimasukkan terus ke akaun penerima yang layak.

“Tidak ada satu sen pun masuk ke akaun peribadi saya. Tak masuk akal wang bantuan rakyat yang dimasukkan terus ke dalam akaun mereka boleh diseleweng masuk ke akaun saya.

“Kalau hal ini berlaku, sudah tentu akan diketahui melalui penemuan audit yang dibuat oleh Jabatan Audit Negara (JAN) setiap tahun. Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) sudah tentu membentangkan laporan mengenainya di Parlimen.

“Nak kata saya halang siasatan kerana saya Perdana Menteri pun tak betul. Kerana saya telah meletak jawatan sebagai Perdana Menteri lebih setahun yang lalu,” ujarnya.

Kata beliau, negara mempunyai sistem dan amalan yang standard untuk menjamin ketelusan dan akauntabiliti dalam perbelanjaan wang kerajaan di mana kesemua perbelanjaan kerajaan adalah tertakluk kepada audit kerajaan.

“Saya percaya pihak Kementerian Kewangan Malaysia khususnya agensi LAKSANA (Unit Pelaksanaan dan Koordinasi Stimulus Ekonomi Antara Agensi Nasional) mempunyai setiap butiran perbelanjaan bagi semua lapan Pakej Rangsangan Ekonomi yang dilaksanakan semasa saya menjadi Perdana Menteri,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI