fbpx

Apple ‘intai’ pindah pengeluaran di luar China

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Syarikat Apple merancang untuk memindahkan sebahagian daripada pengeluarannya di China ke negara-negara lain seperti India atau Vietnam. - AFP

CUPERTINO, CALIFORNIA – Syarikat teknologi multinasional, Apple yang mengeluarkan pelbagai produk termasuk iPhone merancang untuk memindahkan sebahagian daripada pengeluarannya keluar dari China di tengah-tengah kebimbangan terhadap protes yang tercetus di negara itu, lapor portal berita MailOnline kelmarin.

Menurut satu sumber kepada akhbar Wall Street Journal, ia mempercepatkan rancangan untuk meninggalkan  bandar raya Zhengzhou yang menempatkan kilang gergasi yang mengeluarkan telefon pintar iPhone, dalam tempoh beberapa minggu lagi.

Sejak akhir-akhir ini, bantahan terhadap pelaksanaan dasar sifar Covid dan pertikaian gaji telah tercetus di bandar raya tersebut termasuk di kilang yang boleh menempatkan sehingga 300,000 pekerja.

Ia sekali gus mengakibatkan syarikat berkenaan menghadapi kelewatan bagi pengeluaran dan penghantaran telefon pintar iPhone.

Para pengguna juga terpaksa berdepan dengan masa menunggu yang paling lama sejak iPhone dilancarkan 15 tahun lalu, apabila anggaran tarikh penghantaran telefon pintar tersebut adalah selepas Krismas, kata Wall Street Journal.

Pada November lepas, syarikat berkenaan mengeluarkan notis bahawa pengeluaran iPhone mungkin lebih rendah disebabkan masalah sekatan perjalanan Covid-19 di Zhengzhou yang turut dikenali sebagai bandar raya iPhone.

Justeru, Ketua Pegawai Eksekutifnya, Tim Cook dikatakan sedang mengintai pasaran India dan Vietnam untuk mengurangkan kebergantungan kepada pemasangan produk Apple oleh syarikat Foxconn Technology Group (Foxconn), iaitu syarikat multinasional yang berpangkalan di Taiwan.

Bagaimanapun, negara-negara itu boleh mencadangkan satu pengenalan pengeluaran baharu kerana ia tidak mempunyai jumlah jurutera pengeluaran dan pembekal untuk menghasilkan ratusan juta unit seperti Zhengzhou.

Kilang di Zhengzhou pada satu ketika pernah menghasilkan kira-kira 85 peratus iPhone Pro.

Sementara itu, para penganalisis memberitahu Wall Street Journal bahawa Apple tidak lagi berasa selesa dengan majoriti perniagaannya ditumpukan kepada hanya di satu-satu tempat sahaja.

“Pada masa lalu, orang ramai tidak memberi perhatian kepada risiko penumpuan (kilang pengeluaran di sesuatu tempat). Perdagangan bebas adalah norma. Sekarang kita telah memasuki dunia baharu,” kata seorang bekas eksekutif Amerika Syarikat (AS) untuk Foxconn, Alan Yeung. 

Apple selain itu turut merancang untuk mengeluarkan sehingga 45 peratus produknya dari India bagi tempoh jangka panjang, demikian menurut Ming-chi Kuo yang merupakan seorang penganalisis di syarikat TF International Securities.

Tambah Wall Street Journal, Vietnam pula sebahagian besarnya dilihat boleh mengendalikan pengeluaran AirPods, jam tangan pintar dan komputer riba iPhone.

Syarikat Foxconn yang mengendalikan operasi kilang di Zhengzhou telah menghantar produk bernilai AS$32 bilion (RM140 bilion) pada tahun 2019 dan menyumbang hampir empat peratus daripada eksport China pada 2021, demikian menurut People’s Daily.

Dalam pada itu, meskipun pemerintah telah menyatakan bahawa ia akan melonggarkan sebahagian sekatan Covid-19 susulan daripada protes berterusan, kilang Apple di Zhengzhou itu dilaporkan telah hilang ramai pekerja dengan anggaran sekitar ribuan hingga puluhan ribu kakitangan. – Agensi 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI