fbpx
DADAH yang dirampas bersama seorang lelaki yang ditangkap di jalan ladang kelapa sawit di Changkat Ramu, Slim River semalam.-IHSAN PDRM

Penganggur dicekup sebelum sempat edar dadah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TANJUNG MALIM – Seorang penganggur tidak sempat mengedar dadah jenis heroin dan methamphetamine apabila dicekup polis di jalan ladang kelapa sawit Changkat Ramu, Slim River di sini semalam.

Suspek berusia 53 tahun itu ditangkap pada pukul 10.30 malam selepas dilihat dalam keadaan mencurigakan di kawasan berkenaan dipercayai sedang menunggu pelanggan.

Ketua Polis Daerah Muallim, Superintendan Mohd. Hasni Mohd. Nasir berkata, pemeriksaan dilakukan ke atas beg silang dipakai suspek dan menemui 10 peket plastik lutsinar berisi dadah disyaki heroin dianggarkan seberat 41.55 gram.

Katanya, turut dijumpai dalam beg berkenaan tujuh peket plastik lutsinar berisi ketulan kristal disyaki dadah jenis methamphetamine seberat 28.72 gram.

“Selain botol kaca yang telah diubah suai disyaki alat menghisap dadah, kita juga menjumpai alat penimbang berwarna hitam, plastik lutsinar dan foil aluminium.

“Nilai pasaran keseluruhan dadah yang dirampas berjumlah RM4,000,” katanya di sini hari ini.

Menurut beliau, ujian saringan air kencing yang dilakukan ke atas suspek mendapati positif dadah jenis morfin selain memiliki rekod kesalahan lampau bersabit kes dadah.

“Suspek direman tujuh hari bermula hari ini sehingga Jumaat depan dan siasatan kes dijalankan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya. – KOSMO! ONLINE

POPULAR