fbpx

Harap kerajaan baharu luluskan penyelarasan bajet ATM – Mohd Reza

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Mohd Reza (kiri) sempena Majlis Pemakaian Lencana Kepakaran Kapal Selam di Markas Pemerintahan Kapal Selam, Pangkalan TLDM Sepanggar, hari ini. -Foto IVAN AMIRUL

KOTA KINABALU – Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) berharap penyelarasan bajet Angkatan Tentera Malaysia (ATM) secara berperingkat daripada satu peratus kepada 1.5 peratus daripada keluaran dalam negara kasar (KDNK) dapat dipertimbangkan oleh kerajaan baharu ketika ini.

Panglima TLDM, Laksamana Tan Sri Mohd Reza Mohd Sany menyatakan langkah itu dapat meningkatkan keupayaan pertahanan seiring situasi senario keselamatan semasa.

“Hal ini disebabkan tanpa peruntukan bersesuaian, keupayaan mengekalkan tahap kesiagaan yang tinggi boleh terjejas.

“TLDM kini sedang berdepan dengan cabaran mengoperasikan aset yang usang dan kekangan bajet pertahanan yang bukan sahaja menjejaskan kesiagaan serta kemampuan angkatan tersebut malahan secara tidak langsung merisikokan keselamatan warga TLDM,” katanya ketika berucap pada Majlis Pemakaian Lencana Kepakaran Kapal Selam di Markas Pemerintahan Kapal Selam, Pangkalan TLDM Sepanggar, di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Mohd Reza berkata, dalam memastikan TLDM mampu memberi respon terbaik kepada ancaman, terdapat keperluan meneruskan penambahan aset berdasarkan perancangan ‘15 to 5’ yang direncanakan sebelum ini.

“Ia seperti Projek Kapal Tempur Pesisir (LCS) dan Kapal Peronda Misi Pesisir (LMS) batch kedua dan bagi angkatan kapal Selam, TLDM sangat peka terhadap keperluan untuk menambah jumlah aset kapal selam sehingga empat buah bagi melengkapkan dan mengoptimumkan kitaran pengoperasian kapal selam.

“Landskap keselamatan global dan serantau yang semakin tidak menentu perlu diberikan perhatian serius oleh kerajaan dalam usaha memelihara kedaulatan dan keselamatan Zon Maritim Malaysia yang menjadi penyumbang kepada 40 peratus hasil pendapatan negara,” katanya.-KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI