fbpx

Ganjaran besar menanti pemenang FFM32

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
SEBAGAI tanda penghargaan, selain trofi, Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) memperuntukkan wang tunai sebanyak RM200,000 bagi keseluruhan ganjaran untuk 22 kategori dipertandingkan termasuk anugerah khas dalam FFM32.

BAHANG kemuncak Festival Filem Malaysia ke-32 (FFM32) yang bakal menggegarkan Encore, Melaka malam ini semakin terasa apabila gelanggang tersebut mula dipenuhi karyawan dan pemain industri.

Sebagai tanda penghargaan, selain trofi, Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) turut memperuntukkan wang tunai sebanyak RM200,000 bagi keseluruhan ganjaran untuk 22 kategori dipertandingkan termasuk anugerah khas.

Pemenang setiap kategori bakal membawa pulang hadiah wang tunai antara RM5,000 hingga RM15,000, manakala penerima trofi Anugerah Seniman dan Seniwati Sepanjang Zaman dihadiahkan pakej umrah berserta wang tunai RM15,000.’

Ketua Pegawai Eksekutif Finas, Profesor Dr. Md. Nasir Ibrahim berkata, pihaknya berusaha mendapatkan hadiah tajaan besar bagi menyemarakkan lagi penganjuran FFM32.

MD. NASIR

“Bagi kategori Anugerah Seniman dan Seniwati Sepanjang Zaman, kami ada kriteria tertentu dalam memilih penerima yang benar-benar menepati kelayakan.

“Keutamaan tentu saja kepada pelakon yang menggalas watak utama, selain melihat kepelbagaian bakat dalam semua lapangan.

“Bagi kami, pengalaman menjadi bonus tambahan yang membolehkan mata tambahan diberikan. Lebih lama pengalaman, lagi tinggi peluang untuk menang.

“Barisan penilai juga melihat kelebihan lain termasuk dari segi pencapaian di peringkat tempatan dan juga antarabangsa,” katanya.

Tidak berkompromi mengenai ketelusan dalam penjurian, Md. Nasir berkata, sejak awal segala proses penilaian diadili juri profesional.

“Semua yang terbabit dalam penjurian adalah mereka yang berkredibiliti tinggi, begitu juga dengan penilaian setiap kategori bagi memastikan keputusan adil selain tiada pilih kasih.

“Supaya tiada unsur prejudis atau mengundang pertikaian pada kemudian hari, penganjur enggan mendedahkan nama juri,” ujarnya.
Sepanjang zaman.

Sementara itu tambah Md. Nasir, persediaan menghadapi malam kemuncak FFM32 sudah disempurnakan, ibarat hanya menunggu ‘gong’ dipalu.

“Setakat ini sudah ramai artis tiba di bandar raya ini dengan jangkaan sekitar 1,400 penonton termasuk lebih 21 orang seniman serta seniwati era Studio Jalan Ampas akan berada di Encore.

“Mereka akan menjadi saksi kemeriahan malam kemuncak majlis pengiktirafan kepada pemain industri perfileman tanah air ini selepas hampir lima tahun ditunda.

“Finas berbesar hati dapat mengundang seramai 21 bintang veteran pada malam anugerah ini bagi memberikan apresiasi kepada mereka ketika masih ada,” katanya.

SANGEETA Krishnasamy tercalon dalam kategori Pelakon Wanita Terbaik untuk filem Juang.

Antara tokoh filem yang menghadiri malam kemuncak FFM32 ialah Datuk Rosnani Jamil, Wahid Satay, Zaiton, Dayang Sofia, Sofea Ibrahim dan ramai lagi.

Mengangkat tema Filem Kita, Citra Kita, penganjuran FFM32 menyaksikan persaingan sebanyak 55 karya yang ditayangkan dari tempoh 15 Julai 2021 hingga 30 September lalu.

Menerusi pengumuman calon Top 5, filem Spilt Gravy arahan Datuk Zahim Albakri Ikmal mendominasi 14 daripada 22 pencalonan yang dipertandingkan.

Mengekori rapat filem berkenaan ialah Air Force The Movie: Selagi Bernyawa yang meraih 13 pencalonan.

Sementara filem apresiasi untuk petugas barisan hadapan ketika fasa pandemik meruncing iaitu Juang serta naskhah aksi komedi Abang Long Fadil 3 masing-masing dengan 10 pencalonan.

Jelas Md. Nasir, pemenang kategori Filem Terbaik bakal memenangi Dana Kandungan Digital (DKD) bernilai RM500,000.

Sementara itu, terdapat tiga kategori baharu yang diumumkan sebelum ini iaitu Anugerah Seniman Sepanjang Zaman, Anugerah Seniwati Sepanjang Zaman dan Anugerah Filem Pendek Terbaik.

IDAN Aedan calon Pelakon Lelaki Harapan.

“Kategori Anugerah Seniman Sepanjang Zaman dan Anugerah Seniwati Sepanjang Zaman merupakan usaha Finas untuk mengiktiraf mereka yang dianggap signifikan dalam konteks perkembangan industri filem negara,” katanya.

Acara kemuncak FFM32 yang dipancarkan secara langsung menerusi saluran TV2 bermula pukul 8.30 malam ini dikendalikan oleh Awal Ashaari dan Che Puan Sarimah Ibrahim.

Lebih menarik, Datuk Zainal Abidin, Siti Nordiana, Azlan & The Typewriters, Ernie Zakri, Marsha Milan dan Hazama akan mengisi slot persembahan.

Barisan penyampai anugerah pula menampilkan gandingan Maya Karin, Nam Ron, Faizal Hussein, Zul Ariffin, Ummi Nazeera, Hairul Azreen, Adrian Teh serta Ashraf Muslim.

Penganjuran FFM32 merupakan manifestasi usaha kerajaan melalui Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia (K-KOMM) dalam memperkasakan industri perfileman negara.

IZZUE ISLAM calon Pelakon Lelaki Terbaik.
Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI