fbpx
Argentina muncul juara Kumpulan C selepas menewaskan Poland 2-0 pada perlawanan yang berlangsung di Stadium 974 sebentar tadi.

Piala Dunia: Argentina pamer taring benam Poland

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

DOHA – Juara dua kali, Argentina memastikan tempat ke pusingan kalah mati Piala Dunia 2022 selaku juara Kumpulan C selepas mencatat kemenangan 2-0 ke atas Poland pada perlawanan yang berlangsung di Stadium 974 sebentar tadi.

Kedua-dua pasukan turun dengan misi mendapatkan tiga mata bagi memastikan tempat ke pusingan kalah mati memandangkan semua pasukan dalam kumpulan tersebut masih berpeluang untuk layak.

Pada separuh masa pertama, Argentina nyata pasukan lebih baik apabila menguasai sepenuhnya permainan dengan melakukan sembilan percubaan tepat ke arah pintu gol Poland biarpun pasukan lawan menerapkan taktikal bertahan.

Skuad kendalian Lionel Scaloni itu beberapa kali hampir menembusi pintu gol Poland menerusi percubaan Lionel Messi, Angel Di Maria dan Julian Alvarez, namun peluang-peluang tesebut tidak dimanfaatkan sebaiknya.

Peluang terbaik Albiceleste hadir pada minit ke-38 selepas dianugerahkan sepakan penalti, namun penjaga gol Poland, Wojciech Szczesny bertindak cemerlang dengan menyelamatkan percubaan Messi.

Jentera serangan Poland yang diketuai Robert Lewandowski juga dilihat beberapa kali melancarkan serangan balas pantas ke arah pintu gol Argentina, namun setiap asakan itu berjaya dipatahkan.

Bersambung separuh masa kedua, Argentina tidak menunggu lama apabila hanya memerlukan kurang seminit untuk berada 1-0 di depan menerusi jaringan pemain tengah, Alexis Mac Allister yang menerima hantaran Nahuel Molina.

Gol tersebut nyata membangkitkan semangat juang Argentina dan mereka hampir menggandakan kedudukan pada minit ke-61, sekali lagi menerusi Mac Allister tetapi percubaannya diselamatkan Szczesny.

Enam minit berselang, penyerang Manchester City, Julian Alvarez meletakkan Argentina dalam kedudukan selesa selepas percubaan yang dilakukan berjaya menggegarkan gawang Poland buat kali kedua.

Memasuki 10 minit terakhir perlawanan, pasukan Amerika Selatan itu seakan-akan menurunkan tempo permainan dan bermain lebih selamat sebelum pengadil perlawanan meniup wisel penamat. – KOSMO! ONLINE

POPULAR