PETALING JAYA – Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) sentiasa berusaha menaik taraf kehidupan gelandangan di ibu kota seperti menyediakan latihan dan bimbingan berterusan.
Pusat Transformasi Gelandangan Anjung Kelana, Taman Desa dan Pusat Pembelajaran Komuniti Chow Kit antara kemudahan yang disediakan kepada golongan itu.
Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri Mahadi Che Ngah berkata, latihan dan kemahiran asas yang diberikan adalah seperti berkebun, melukis, kraf tangan, kemahiran bahasa, kerohanian dan pembangunan diri.
“Selain itu, padanan kerja dengan penglibatan pelbagai jabatan dan agensi turut dilaksanakan DBKL dengan kerjasama Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) serta majikan swasta.
“Usaha ini berjaya membantu golongan itu yang tinggal di pusat-pusat gelandangan mendapatkan pekerjaan untuk meneruskan kehidupan secara normal,” katanya kepada Kosmo!.
Beliau berkata, usaha lebih besar dan berkesan juga sedang dirangka melibatkan golongan gelandangan yang tidak produktif menerusi penglibatan jabatan, agensi dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang berkaitan.
“Ia melibatkan gelandangan daripada golongan penagih dadah, pesakit mental dan berpenyakit,” ujarnya.
Ketika disoal Kosmo! tentang cabaran mengendalikan golongan ini, beliau berkata, DBKL hanya pemangkin, namun perubahan diri adalah bergantung atas usaha mereka sendiri.
“Cabaran adalah kepada individu itu sendiri. Pusat transit yang disediakan bukanlah tempat tetap untuk mereka tinggal selama-lamanya.
“Mereka kena usaha sendiri juga. Kadangkala dalam operasi menyelamat, pihak kami akan jumpa gelandangan yang sama berulang-kali,” katanya.
Bagaimanapun, katanya, DBKL ambil peduli semua kategori gelandangan di ibu negara termasuk mereka yang hidup tanpa kemudahan asas sempurna kerana DBKL komited bagi menterjemahkan visi ‘Bandar Raya Untuk Semua’.














