fbpx
Dari kanan Fei Junlong, Deng Qingming dan Zhang Lu melambai semasa majlis sebelum pelancaran misi Shenzhou-15 kelmarin. - AFP

3 angkasawan China tiba di stesen Tiangong

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BEIJING – Tiga angkasawan China selamat tiba di Stesen Angkasa Lepas Tiangong semalam sekali gus menyempurnakan penghantaran lengkap kru Beijing yang pertama ke orbit Bumi, lapor agensi berita Xinhua.

Ketiga-tiga mereka berlepas menggunakan roket Long March-2F pada pukul 11.08 malam (waktu tempatan) dari pusat pelancaran Jiuquan di gurun Gobi, barat laut China, lapor Xinhua sebagai memetik Pentadbiran Angkasa Berawak China (CMSA).

Roket yang membawa angkasawan veteran, Fei Junlong serta angkawasan baharu, Deng Qingming dan Zhang Lu itu membawa misi Shenzou-15.

Mereka kemudian menyertai tiga lagi angkasawan yang berada di stesen angkasa itu sejak Jun lalu. Junlong, 57, kembali ke angkasa lepas selepas 17 tahun sejak menyertai misi Shenzhou-6 pada 2005.

Jurucakap CMSA, Ji Qiming berkata, tanggungjawab utama misi terbaharu itu adalah untuk mencapai penyerahan kru pertama di orbit, memasang peralatan dan kemudahan di dalam dan luar stesen angkasa serta menjalankan eksperimen saintifik.

“Semasa berada di sana, kru Shenzhou-15 akan mengalu-alukan kedatangan kapal angkasa kargo Tianzhou-6 dan menyerahkan operasi kapal angkasa Shenzhou-16, sebelum kembali ke tapak pendaratan Dongfeng di China pada Mei tahun depan,” katanya.

Stesen Angkasa Lepas Tiangong ialah program angkasa lepas Beijing yang telah mendaratkan rover robotik di Planet Marikh dan Bulan.

China menjadi negara ketiga di dunia yang berjaya membawa manusia ke orbit Bumi selepas Amerika Syarikat (AS) dan Russia. – AFP 

 

POPULAR