fbpx

Mahkamah: Lucut hak Pavilion Residence, kerajaan tidak kemuka rayuan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR – Jabatan Peguam Negara, mengesahkan Kerajaan Malaysia tidak mengemukakan sebarang rayuan berhubung keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur yang menolak permohonan kerajaan untuk melucut hak barangan mewah bernilai RM80 juta yang dirampas di Pavilion Residences, empat tahun lalu.

Perkara itu dimaklumkan Peguam Negara Tan Sri Idris Harun ketika dihubungi media petang tadi.

“Ya, AGC (Jabatan Peguam Negara) tidak merayu terhadap keputusan Hakim kerana kami bersetuju dengan keputusan beliau,” ujarnya ringkas ketika dihubungi.

Untuk rekod pada 14 November lalu, Hakim Datuk Muhammad Jamil Hussin menolak permohonan kerajaan yang difailkan melalui AGC untuk melucut hak 2,435 unit barang kemas, tujuh utas jam tangan dan 29 beg tangan berjenama yang dikatakan hasil daripada penyelewengan dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB) selepas pihak itu gagal membuktikan harta-harta yang disita itu berpunca daripada aktiviti haram.

Dalam permohonan itu, bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan isterinya Datin Seri Rosmah Mansor yang dinamakan sebagai pihak ketiga, menuntut harta-harta yang disita daripada premis milik Obyu Holdings Sdn. Bhd.

Dalam keputusan tersebut, mahkamah berpuas hati, tiada unsur-unsur pengubahan wang haram, yang merupakan kesalahan di bawah Seksyen 4(1) Akta Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLATFPUAA).

Menurut Hakim Muhammad Jamil, pegawai penyiasat, gagal mendedahkan dan mengenal pasti pihak yang diamanahkan dengan wang 1MDB, pihak yang mempunyai penguasaan wang tersebut dan bagaimana Najib dikaitkan sebagai ejen syarikat itu.

Dalam keputusannya, beliau turut menyatakan, wang berjumlah AS$247,599,466 telah dibayar oleh Blackstone Asia Real Estate Partners dan beberapa pihak lain kepada 31 syarikat pengeluar dan penjual barangan kemas untuk pembelian barang kemas.- KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI