fbpx

Jejak Pelabur Bijak MSAM suburkan literasi kewangan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
MUJAHID Abdul Rahim (dua kiri) memenangi sebuah motosikal Yamaha MT-25 di MSAM 2022 yang berlangsung di Port Dickson semalam.

PORT DICKSON – Orang ramai berpeluang meningkatkan pengetahuan kewangan mereka dengan menyertai aktiviti menarik di Minggu Saham Amanah Malaysia (MSAM) 2022 yang sedang berlangsung di Kawasan Lapang Pantai Batu 1, di sini bermula 24 November hingga 30 November ini.

Selain aktiviti Jejak Pelabur Bijak yang disasarkan kepada pengunjung berusia 13 tahun ke atas, ibu bapa juga boleh memperkenalkan asas literasi kewangan buat anak-anak mereka yang berusia 12 tahun dan ke bawah menerusi aktiviti Jejak Pelabur Cilik.

Salah seorang pengunjung yang ditemui, Damia Liyana Shamsol Hasni, 16, berkata, dia berpeluang menyertai aktiviti menyusun puzzle di Jejak Pelabur Bijak dan untuk memenangi permainan berkenaan dengan markah yang tinggi, dia perlu menyelesaikannya dalam tempoh singkat.

“Aktiviti ini secara tidak langsung mendidik saya supaya membuat keputusan yang cepat dalam membuat pelaburan atau simpanan.

PELAJAR SMK Dato’ Shahardin, Labu, Seremban teruja mengunjungi MSAM 2022.

“Sekiranya mahu hasil yang lebih besar, pelaburan perlu dibuat lebih awal dan bagi saya, aktiviti ini dapat menarik minat untuk menyimpan bersama Permodalan Nasional Berhad (PNB),” katanya.

Bagi Guru Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bandar Baru Serting, Jempol ,Nor Azli Mohd Nor, 49, dia hampir tidak pernah ketinggalan menyertai MSAM pada setiap tahun sebelum pandemik bersama ahli serta guru Kelab Pelaburan Bijak PNB.

Menurutnya, melalui MSAM, pelajar serta guru berpeluang menyertai pelbagai aktiviti interaktif mengenai pelaburan, selain dapat mengetahui secara lebih lanjut mengenai aset-aset yang dimiliki PNB.

“Macam hari ini saya berpeluang melihat Menara Merdeka 118 milik PNB secara interaktif. Dari tingkat 116, saya dapat melihat pemandangan menarik Bandaraya Kuala Lumpur.

“Malah dengan menghadiri MSAM ini, kita juga dapat mengetahui kaedah pelaburan terbaik secara selamat di bawah PNB. Pelaburan kecil atau besar di bawah PNB semuanya terbukti selamat dan saya sentiasa menggalakkan pelajar membuat akaun ASB (Amanah Saham Bumiputera) seawal usia muda dengan bimbingan ibu bapa.

ORANG ramai mengunjungi ruang pameran dan mencuba pelbagai aktiviti di MSAM 2022.

Dalam pada itu, penyelia gerai pameran Jejak Pelabur Bijak, Muhammad Amzar Ahmad Lofti berkata, aktiviti permainan yang disediakan mendapat sambutan menggalakkan daripada pengunjung, terutamanya golongan pelajar.

Menurutnya, terdapat empat bilik disediakan yang mana di bilik satu dan dua, pengunjung berpeluang menjana pendapatan melalui permainan yang disediakan, manakala bilik ketiga dan keempat dikhaskan bagi membuat pelaburan.

“Melalui permainan ini, kami mendidik masyarakat bahawa risiko kecil akan menghasilkan hasil yang kecil, manakala risiko besar berpotensi memberikan pulangan pelaburan yang lebih besar. Ini adalah asas kepada ilmu pelaburan.

“Aktiviti ini selaras dengan matlamat PNB untuk mengajak golongan muda merancang kewangan dari awal dan meningkatkan tahap celik kewangan masyarakat secara amnya,” katanya.

ANTARA aktiviti yang disediakan untuk golongan kanak-kanak.

Selain pelbagai aktiviti yang meningkatkan pengetahuan, pengunjung turut berpeluang memenangi pelbagai hadiah menerusi cabutan bertuah termasuk motosikal, televisyen, barangan elektrik dan banyak lagi.

Antara pengunjung bertuah di MSAM 2022 semalam ialah Mujahid Abdul Rahim yang membawa pulang motosikal berkuasa tinggi Yamaha MT-25; Kamaruzaman Othman memenangi motosikal Yamaha 135 LC FI, manakala Mohd. Nizam Yusof yang menerima iPhone 14 Pro Max. – KOSMO! ONLINE

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI