fbpx

Russia bedil grid kuasa, jutaan penduduk Ukraine bergelap

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
PENGUNJUNG berehat di sebuah kedai kopi di Lviv yang bergelap akibat bekalan elektrik terputus kelmarin. -- AFP

KIEV – Ukraine bergelut untuk memulihkan semula bekalan air dan elektrik kepada berjuta-juta penduduk kelmarin selepas Russia membedil berpuluh-puluh peluru berpandu, mengakibatkan grid elektrik Ukraine yang sudah lumpuh, semakin teruk.

Sistem tenaga di Ukraine berada di ambang kemusnahan dengan berjuta-juta orang terputus bekalan elektrik sejak beberapa minggu lalu susulan serangan sistematik Russia yang menyasarkan sistem grid tenaga di negara musuhnya.

Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) memberi amaran bahawa nyawa penduduk terancam dan menganggarkan berjuta-juta orang akan meninggalkan rumah mereka.

Menjelang petang kelmarin iaitu lebih 24 jam selepas Russia membedil Kiev,  Datuk Bandar­nya,  Vitali Klitschko berkata,  60 peratus kediaman di ibu kota Ukraine itu terputus bekalan elek­trik. Namun, bekalan  air pulih sepenuhnya.

Serangan Russia bagaimanapun membunuh tujuh orang di Vyshgorod, pinggir Kiev, kata Ke­tua Tentera Wilayah Kyiv, Oleksiy Kuleba.

Bedilan terbaharu Kremlin kelmarin membunuh sekurang-kurangnya empat orang di bandar Kherson, selatan Ukraine. Tentera Ukraine menawan semula Kherson baru-baru ini.

Serangan terkini ke atas grid kuasa berlaku menjelang ketibaan musim sejuk dengan suhu di  Kiev lebih sedikit daripada  paras beku.

Ukraine menuduh tentera Russia melancarkan sekitar 70 peluru berpandu serta dron pemusnah dalam serangan itu  yang menyebabkan 10 orang terbunuh dan sekitar 50 lagi  cedera.

Kementerian Pertahanan Russia sebaliknya menafikan menyerang mana-mana sasaran di Kiev. Pihaknya menegaskan bahawa kemusnahan yang berlaku berpunca daripada misil sistem pertahanan udara Ukraine.

“Tiada satu serangan pun dilancarkan ke atas sasaran di Kiev,”  katanya.

Moscow didakwa menyasarkan fasiliti tenaga bagi memaksa tentera Kiev menyerah kalah selepas sembilan bulan perang berlanjutan yang menyaksikan tentera Kremlin gagal mencapai kebanyakan objektifnya  untuk merampas wilayah Ukraine.

“Cara mereka berperang dan menyasarkan infrastruktur awam, ia tidak dapat mencapai apa-apa objektif melainkan kemarahan penduduk,” kata Oleksiy Yakovlenko selaku  ketua pentadbir sebuah hospital di bandar Kramatorsk,  timur Ukraine.

Walaupun gangguan bekalan elektrik menjadi semakin kerap, Yakovlenko berkata, keazamannya tidak pernah pudar.

“Jika mereka (Russia) menjangkakan kami akan berlutut dan merangkak ke arah mereka, ia tidak akan berlaku,” kata Yakovlenko kepada agensi berita AFP.

Tentera Russia mengalami banyak kekalahan di medan pertempuran. Pada bulan ini, pasukan tentera Moscow berundur dari satu-satunya ibu kota wilayah yang mereka tawan, Kherson dan memusnahkan infrastruktur utama semasa me­lakukan pengunduran.

Kelmarin ketua pentadbiran tentera Kherson, Yaroslav Yanushevych berkata,  bedilan tentera  Russia di Kherson telah membunuh sekurang-kurangnya empat orang.

“Penceroboh Russia melepaskan tembakan roket ke arah kawasan perumahan. Sebuah bangunan besar terbakar,” katanya dalam aplikasi Telegram.

Pendakwa raya Ukraine juga menyatakan kelmarin bahawa pihak berkuasa menemui sembilan lokasi penyeksaan yang digunakan oleh Russia di Kherson bersama ‘mayat 432 orang awam yang terbunuh’.

Serangan pada Rabu lepas pula menyaksikan  tiga loji nuklear Ukraine terputus sambungan daripada grid nasional, mengakibatkan negara jirannya, Moldova bergelap. Negara itu membeli tenaga elektrik dari Ukraine.

Ketiga-tiga kemudahan nuklear itu disambung semula kepada grid tenaga kelmarin, kata kementerian tenaga.

Bekalan kuasa hampir pulih sepenuhnya di Moldova yang merupakan negara bekas Kesa­tuan Soviet, namun Presidennya itu, Maia Sandu berpihak kepada Barat.

Dalam perkembangan berkaitan, Datuk Bandar Kharkiv, Igor Terekhov berkata, bekalan air sedang dipulihkan, manakala pekerja-pekerja perbandaran berusaha untuk menyambung semula pengangkutan awam.

“Kami telah memulihkan semula bekalan kuasa. Percayalah, tugas  ini sangat sukar,”  katanya.

Bagaimanapun, gangguan bekalan elektrik terus berlaku  di serata Ukraine, malah bank pusat memberi amaran bahawa gangguan itu boleh mengganggu operasi bank. – AFP

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI