fbpx
GAMBAR HIASAN

Brazil juara Piala Dunia Qatar 2022

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ITU ramalan komputer, namun ia bukan sebarang komputer kerana mengguna pakai teknologi AI atau artificial intelligence (kecerdasan buat­an) yang memiliki keupayaan untuk menjadi pintar seperti manusia.

Sebagai makluman, Brazil tidak pernah memenangi Piala Dunia sejak tahun 2002 tetapi ada kemungkinan besar skuad Selecao bimbingan ketua jurulatih Tite bakal mendominasi edisi Qatar 2022.

Menggunakan model ramalan AI berdasarkan statistik dan prestasi, negara dari Amerika Selatan tersebut dikatakan muncul sebagai pasukan pilihan untuk menjulang trofi Piala Dunia buat kali keenam.

Bagi gambaran lebih jelas mengenai negara yang diramalkan memenangi Piala Dunia Qatar 2022, model ramalan AI turut menjangkakan keberangkalian setiap keputusan perlawanan sama ada akan seri atau kalah.

Kemampuan ramalan AI menghasilkan keputusan adalah dengan menggunakan kemungkinan pasaran pertaruhan selain statistik dan kedudukan berdasarkan sejarah serta prestasi terkini pasukan.

Model ramalan AI turut mempertimbangkan kekuatan lawan serta kesukaran laluan diharungi sesebuah pasukan ke final dengan menggunakan kebarangkalian keputusan perlawanan termasuk mengambil kira komposisi kumpulan dan kedudukannya di peringkat kalah mati.

Menariknya, Brazil muncul dengan kebarangkalian tertinggi untuk menjuarai Piala Dunia. Juara lima kali itu yang menjadi pilihan mempunyai 16 peratus peluang untuk menjulang trofi berprestij tersebut bahkan muncul pasukan memiliki kebarangkalian tertinggi mara ke pentas final (25 peratus).

Di belakang Brazil pula adalah Argentina yang dikejutkan dengan kekalahan kepada pasukan tidak ternama, Arab Saudi 2-1 dalam Kumpulan C kelmarin, diramalkan memiliki sebanyak 13 peratus peluang untuk merangkul trofi berkenaan pada tahun ini.

Melengkap lima pasukan pencabar terhebat Piala Dunia Qatar 2022 ialah Perancis (12%), Sepanyol (9%) dan England (9%).

Meskipun menjadi pilihan ketiga keseluruhan untuk memenangi pertandingan bola sepak terbesar di muka bumi itu, Perancis sebenarnya ada keberangkalian tertinggi layak ke peringkat kalah mati (91%), sebelum pilihan keseluruhan cenderung kepada Brazil (89%).

Sementara itu, Croatia yang tewas pada final Russia 2018 dijangka tidak akan mengulangi prestasi luar biasa mereka. Pasukan bimbingan Zlatko Dalic itu hanya memiliki peluang sebanyak 4% untuk layak ke final tahun ini berbanding 11 pasukan lain yang mempunyai kebarangkalian lebih tinggi.

Menurut model ramalan AI juga, England mempunyai peluang 60% untuk mengungguli peringkat kumpulan dan skuad kendalian Gareth Southgate itu diramalkan sekurang-kurangnya mara ke suku akhir dengan kebarangkalian 56%, peratusan ketiga tertinggi bagi mana-mana negara pada Piala Dunia.

Waima apa pun ramalan komputer, penulis berharap keindahan pertandingan bola sepak itu akan bertahan meskipun teknologi sudah dipraktikkan dalam sukan popular dunia berkenaan. Jangan biar Piala Dunia hilang seri dan sifat semula jadinya. -KOSMO! ONLINE

POPULAR