fbpx

Korea Utara beri amaran tindakan lebih keras, lancar ICBM, misil balistik

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
SEORANG wanita berjalan melintasi skrin televisyen memaparkan berita ujian peluru berpandu Korea Utara di sebuah stesen kereta api di Seoul semalam. – AFP

PYONGYANG – Korea Utara melancarkan peluru berpandu balistik antara benua (ICBM) semalam, kata Seoul sekali gus yang terbaharu membabitkan pelancaran misil oleh Pyongyang untuk memberi amaran mengenai tindak balas tentera ‘lebih keras’ terhadap Amerika Syarikat (AS) dan sekutu-sekutunya.

Presiden AS, Joe Biden membincangkan ujian peluru berpandu Korea Utara dengan rakan sejawatnya dari China, Xi Jinping awal minggu ini. Beliau turut berbincang dengan pemimpin Korea Selatan dan Jepun berikutan kebimbangan semakin me­ningkat bahawa Pyongyang akan melakukan ujian nuklear ketujuhnya  tidak lama lagi.

“Langkah Washington untuk meningkatkan ‘pencegahan lanjutan’ dan mengadakan latihan tentera bersama dengan sekutu keselamatan serantau adalah tindakan bodoh,” kata Menteri Luar Korea Utara, Choe Son-hui  dalam komen yang disiarkan agensi berita rasmi  KCNA.

“Semakin Washington me­ningkatkan kerjasama keselamatan dengan Tokyo dan Seoul, semakin keras tindak balas tentera DPRK,” tambah Son-hui  yang  merujuk kepada nama rasmi Korea Utara iaitu Republik Rakyat Demokratik Korea.

Kelmarin, Ketua Turus Bersama Korea Selatan berkata, tentera Seoul telah ‘mengesan sekitar pukul 10.48 pagi (waktu tempatan) sebuah misil balistik jarak dekat yang dilancarkan  dari kawasan Wonsan dalam  wilayah Kangwon di Korea Utara.

Misil itu terbang dalam jarak 240 kilometer pada ketinggian 47 kilometer dan laju hampir 5,000 kilometer sejam.

“Korea Selatan dan AS mengesahkan kedudukan pertahanan bersama mereka yang kukuh melalui latihan pertahanan peluru berpandu bersama yang diadakan hari ini (kelmarin),” kata beliau, merujuk kepada latihan yang dijadualkan.

Jepun juga mengesahkan Korea Utara telah menembak ICBM  semalam  dengan pejabat Perdana Menteri berkata, misil berkenaan jatuh di laut dalam perairan zon ekonomi eksklusif di utara Hokkaido.  Tindakan Pyongyang termasuk pelancaran berulang kali peluru berpandu balistik itu mengancam ke­amanan dan keselamatan negara, masyarakat serantau dan antarabangsa.

Korea Utara melakukan bebilang pelancaran misil awal bulan ini, termasuk pada 2 November lalu dengan membedil 23 peluru berpandu iaitu lebih banyak berbanding sepanjang 2017 iaitu tahun ‘api kemarahan’ apabila pemimpin tertinggi, Kim Jong-un bertelingkah dengan Presiden  AS ketika itu, Donald Trump.

Pelancaran misil Korea Utara tahun ini berlaku ketika beratus-ratus pesawat perang AS dan Korea Selatan menyertai latihan udara bersama. Pyongyang me­nganggap latihan tentera itu sebagai persediaan untuk melancarkan pencerobohan. – AFP

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI