PETALING JAYA – Penyanyi rap sensasi, Caprice atau nama sebenarnya, Ariz Ramli menjalankan tanggungjawab sebagai pengundi pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) kali ini.
Caprice, 34, mendedahkan perihal terbabit menerusi satu entri dalam Instastory sebentar tadi.
“Tak tahulah sama ada saya awal tapi macam tak ramai (orang) sangat pukul 12 tengahari,” coretnya.
Pelantun lagu Lenglui itu turut berkongsi video pendek memaparkan jarinya berdakwat sekali gus menepis dakwaan segelintir pihak dia tidak turun mengundi kali ini.
Hal ini kerana pada PRU14 lima tahun lalu, Caprice didapati tidak turun mengundi seperti didakwa netizen.
“Caprice sembang lebat suruh Anwar itu, Anwar ini. Tapi, tahukah kalian PRU14 lalu, ceplos itu bukan mengundi pun,” ciap seorang pengguna Twitter.
“Ingat lagi last election, Caprice kena buli siber sebab tak pergi undi (bahkan nama tidak berdaftar sebagai pengundi) sampai akhirnya mengaku alami depresi,” coret seorang pengguna Twitter lain.
Lantang bersuara dalam media sosial, Caprice yang juga isteri kepada pempengaruh Farra Inalis Hussni itu menjadi antara figura popular tanah air yang memberi ilmu kepada orang ramai berusaha bersungguh-sungguh membentuk kerajaan bersih daripada korupsi. – KOSMO! ONLINE






