fbpx

Peluru berpandu mengorbankan dua orang di Poland milik Ukraine

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
ANGGOTA forensik melakukan siasatan di lokasi letupan peluru berpandu di Kampung Przewodow, Poland kelmarin - AFP

BRUSSELS, Belgium –  Setiausaha Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO), Jeneral Jens Stoltenberg memberitahu Badan Penyiaran Britain (BBC) bahawa sebuah peluru berpandu yang membunuh dua orang di Poland adalah milik Ukraine.

“Berkemungkinan besar ia misil pertahanan udara Ukraine,” kata Stoltenberg ketika siasatan berhubung letupan yang berlaku dekat sempadan Ukraine itu diteruskan.

Beliau bagaimanapun, masih menyalahkan Russia kerana melakukan pencerobohan berterusan ke atas Ukraine.

Sementara itu, Kiev tetap bertegas bahawa tentera Kremlin yang melancarkan peluru berpandu terbabit.

“Saya tiada kesangsian bahawa ini bukan peluru berpandu kami. Saya percaya ini adalah peluru berpandu Russia berdasarkan laporan tentera kami,” kata Presiden Volodymyr Zelenskyy dalam satu ucapan televisyen.

Beliau berkata, adalah pen­ting untuk Ukraine dibenarkan menyertai siasatan letupan itu yang berlaku di sebuah ladang di Przewodow, 64 kilometer dari sempadan Poland-Ukraine.

Sistem pertahanan udara Ukraine diaktifkan pada Selasa lepas apabila Russia melancarkan apa yang dipercayai sebagai serangan peluru berpandu terbesar dalam tempoh sembilan bulan sejak pencerobohan Ukraine berlaku pada 24 Feb­ruari lalu.

Berpuluh-puluh misil Russia menyasarkan negara jirannya itu tetapi Ukraine berkata bahawa tenteranya berjaya me­nembak jatuh sebahagian besar peluru berpandu tersebut.

Serangan misil besar-besaran yang berlaku semasa sidang kemuncak G20 di Indonesia itu mencetuskan kemarahan masyarakat antarabangsa dengan berita letupan misil di Poland selaku negara anggota NATO, meningkatkan kebimbangan perang akan merebak.

Stoltenberg berkata, NATO berjanji membekalkan sistem pertahanan udara lebih canggih kepada Ukraine yang bukannya  negara anggota, namun mene­rima begitu banyak bantuan ketenteraan NATO .

“Hari ini, saya menghadiri mesyuarat kumpulan sokongan untuk Ukraine di mana sekutu dan rakan NATO membuat ikrar baharu untuk membekalkan sistem pertahanan udara lebih canggih supaya kami dapat membantu menembak jatuh peluru berpandu Russia.

“Bagaimanapun, cara terbaik untuk mencegah perkara se­perti ini daripada berlaku pada masa hadapan adalah untuk Russia menghentikan perang,” katanya yang bercakap dari ibu pejabat NATO di Brussels.

Terdahulu, Presiden Poland, Andrzej Duda berkata, walaupun peluru berpandu itu adalah jenis S-300 buatan Russia, tiada bukti ia dilancarkan oleh pihak Kremlin. – Agensi 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI